Monday 14 July 2008

Mengiringi Hari-hari Yang Gerimis

Sudah beberapa hari saya menunggu hujan lebat yang menyimbah bumi. Merindui semula masa silam yang damai. Petang semalam saya naik ke bumbung. Suka melihat awan yang membawa hujan. Saya perhatikan, jauh dari rumah ada awan kelam yang berganti-ganti kilat cerah sambung-menyambung.

Selepas seminggu bersantai dan seminggu mengadap laptop, semalam saya mula membuat pembetulan tesis yang dipinda semasa munaqasyah. Tidak terlalu memeningkan. Sungguhpun masih perlu berbincang dengan mushrif.

Sepatutnya hari ini saya pergi ke universiti. Sebaliknya kami mendapat arahan supaya menghadkan pergerakan. Ada demonstrasi anti Barat dan United Nation. Mungkin di beberapa tempat yang berlainan. Khuatir takut-takut tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas. Sebenarnya saya tidak bimbang sangat perkara itu. Pengalaman menyertai perarakan membantah masjid Babri yang diroboh penganut hindu, menghidu gas pemedih mata ketika demam pilihanraya, kedua-duanya semasa di Pakistan dan mogok membantah kenaikan harga minyak waktu di Yaman -begitu mendewasakan. Saya teragak-agak kerana hari Isnin mushrif mempunyai jadual yang ketat dan saya tidak mahu membuatnya terkejar-kejar. Nampaknya, belum berkesempatan diiringi angin semilir yang lembut kerana bahang panas sudah pergi sejak tiga hari yang lalu.

Tiada yang sangat-sangat mencuit perasaan. Pagi yang amat menyenangkan. Sesekali ada rasa tidak sabar mahu pulang ke tanahair. Dan sesekali ada rasa sayang mahu meninggalkan tanah sebidang ini. Di luar sana, kadang-kadang ada renik halus yang menyentuh. Mudah saja membuat saya mengukir senyum. Masa kecil, kami adik beradik sering mengharap musim tengkujuh pantai timur. Musim itu akan ada air pasang; anak sungai yang airnya mula menghijau kejernihan. Kami pun mula membuat rakit batang pisang. Mula sibuk membuat joran. Mahu mengail anak-anak ikan yang galak berenang di permukaan. Ah, sangat mengasyikkan zaman dulu!.

Langit masih malu untuk menangis. Semalam, hanya gerimis nipis yang menitis. Bukan seperti yang disangka. Hari ini, saya menunggu lagi. Langit, curahkanlah air mata yang bergenang.

1 comment:

~PaMpeRed bY worDs~ said...

Saya sangat suka penulisan awk...
Hm....
Menenangkan.... (^_^)