Wednesday, 11 November 2009

Tiada Tajuk Di Musim Hujan

Lama benar tidak menulis, kerana itu saya tiada tajuk, dan tiada isi yang dikongsi. Musim hujan begini mahu jadi apa?. Pastinya mahu lebih mengenal kehidupan. Jangan hidup kosong bila poket kosong. Banyak benda yang saya mahu menjadinya. Ini musim hujan kali kedua. Sejak sirih pulang ke ganggang. Tetapi kenapa mesti musim hujan?.

Menalari perjalanan terus menerus. Tentu sekali, dalam musim hujan. Ada lebat merimbun. Ada rintik menipis. Sifat hujan yang tercipta. Sesungguhnya, kehidupan tiada beza yang mendasar. Bahagia yang paling dan terlalu. Semua orang mahukannya. Saya turunkan sebuah puisi.

Tidak tahu rindu pada siapa
Simpang siur rasa bergejolak
Cinta masa dulu
Bertahun lalu
Tetap mekar dan segar
Namun
Hanya aku yang begitu
Dia
Mungkin aku sudah tiada
Dalam
Hari-hari berputar
Kita kan berubah
Dan berubah
Aku bukan begitu
Hanya dia
Saat
Aku melambung jiwa
Moga malam menolongku
Bawakan dia dalam mimpi
Mimpi kudus
Kali terakhir
Sebelum aku berdoa
Agar aku sepertimu
Tidak pernah mengenang
Kisah kita bersama
Oh Tuhan
Kau cabutlah
Kasih sayang di hatiku
Aku tidak mahu
Jatuh cinta lagi
Pada sesiapa di dunia ini

Puisi ini puisi orang yang tidak bahagia. ‘Masih ramai yang tidak bahagia’. Saya mengingkarinya. Saya hendak bahagia. Dengan orang yang saya jumpa dalam hidup ini. Dengan perjuangan yang tak pernah padam. Hidup saya mula bertajuk. Di musim hujan kali kedua. Selepas tiada di musim pertama.

Friday, 10 July 2009

Hidup Ini Memang Kadang-Kadang

Jam menunjukan hampir pukul 2.00 pagi. Ya, saya mahu mencoret sesuatu setelah ragu-ragu bukan sekali dua. Mengapa hanya selepas kesedihan saya mengenepikan rasa teragak-agak untuk menulis?. Jangan nafikan lagi. Saya sama seperti kebanyakkan blogger; blog sebagai medium meluah perasaan terpendam.

Hidup ini memang kadang-kadang. Kadang-kadang yang teramat kadang-kadang. Semuanya perasaan halus dan jiwa seni yang silih berganti. Datang dan pergi. Tidak pernah sekali pun saya bercakap tentang ini dalam entri-entri sebelumnya. Saya ada puisi ‘Luahan Rasa Kadang-kadang’. Diperap dari tahun 2000. Ditulis bersambung. Bahagian satu dan dua.

Hidup saya memang kadang-kadang. Semasa Nizam mengajar Rasail An Nur dalam pertengahan tahun lepas, dia menyebut doa manusia ada dua jenis. Percakapan dan tindakan. Adakah perasaan dan jangkaan saya semenjak bertahun dulu dikira sebagai doa. Akhirnya dikabulkan Tuhan?. Walhal saya selalu menyebut nauzubillahi min zalik sejurus terlintas perkara yang bukan-bukan. Atau ini ujian untuk hamba yang suka bersenang-senang?.

Saya terkedu bila emak menyatakan saya lupa hadis nabi ketika memilih seperti mana emak terkedu bila saya menyatakan emak beri penekanan sampai tertekan dan kadang-kadang saya tidak jadi diri sendiri.

Kadang-kadang benci juga kadang-kadang yang begini. Kadang-kadang manis juga. Hidup biarlah warna-warni. Hitam, putih, tiada lagi kelabu. ‘Mahu cipta sendiri kisah cinta’. ‘Hidup aku ada juzuk-juzuk. Setiap orang hanya tahu juzuk-juzuk tertentu sahaja’. Inilah kata-kata yang terpacul, Menyebabkan kawan-kawan menyampah dan meluat. ‘Poyo’ kata mereka. Biasalah, orang lelaki.

Ya Allah, kiranya belum terlambat, usah kabulkan lagi doa itu –andai itu sudah dianggap doa-. Saya mahu segalanya baik. Suka semuanya berjalan lancar. Langkah yang beribu batu boleh bermula dengan satu langkah susah. Tidur dulu kawan-kawan!. Kawan-kawan yang berdoa fi zohril ghaib.

Sunday, 3 May 2009

Belajar

Setelah menemui kawan-kawan lama di rehlah bekas pelajar Yaman di Air Terjun Belukar Bukit, seorang rakan sekelas sekolah menengah yang bermalam dua hari di rumah saya kerana isterinya menjalani pembedahan bersalin di Hospital Sultanah Zahirah dan dua orang rakan serumah selama empat tahun di Yaman di bandar Sri Iskandar; rakan-rakan seperjuangan ini mengajukan dalam analogi yang berbeza-beza apakah yang saya mahu dengan terus belajar?.

Sembahyang Jumaat bukanlah sembahyang biasa tetapi solat Jumaat semalam adalah solat biasa yang tertunai pada hari-hari mulia seperti itu sebelumnya. Sebaik sahaja selesai ada yang mengumumkan seorang pensyarah dari Universti Raja Abdul Aziz, Arab Saudi akan memberikan ucapan. Tidak fokus semasa pengerusi menyebut namanya. Saya duduk apabila mendengar dia adalah ‘allazi jamaa’ bainal u’lum as syari’yyah wal mehnah’. Seorang yang menghimpunkan ilmu-ilmu syariah dan mehnah.

Pantas dia bertanya dalam ucapannya. Apa yang kami mahu dengan belajar di sini?. ‘Min ajlil wazifah was syahadah?’. Adakah kerana pekerjaan dan sekeping ijazah?. ‘Am min ajli inqazil ummah wa kasril halaqah?. Atau pun untuk menyelamatkan umat dan memecahkan mata rantai?. Dia menerang dengan lebih lanjut. ‘Para pemuda pergi ke luar negara untuk belajar. Apabila pulang mereka mengajar apa yang dipelajari kepada pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar itu pula pergi keluar negara untuk belajar dan mereka pulang untuk mengajar pelajar-pelajar yang lain. Siapakah yang mahu memecahkan mata rantai sebegini?’.

Sewaktu berkereta dari Kemaman ke Kuala Terengganu beberapa bulan lepas, emak berkisah bertapa dia pernah menolak tawaran ke universiti masa mengandungkan abang. Adik saya bertanya mengapa sampai begitu sekali. Emak bercerita panjang. Masa itu sebenarnya emak sudah pun meminta pendapat ayah. Ayah bertanya kembali. ‘Kenapa mahu masuk?’. Jawab emak ‘mestilah mahu kenaikan gaji’. Tingkah ayah ‘kalau begitu lebih baik tidak masuk’. Saya yang sedang memandu menyampuk emak yang asyik bercerita. ‘Lebih baik masuk walaupun dengan niat mahu naik gaji’. Memetik komentar Imam Az Zahbi ketika mengulas kata-kata Hisyam Ad Dastuwai ‘sesungguhnya aku tidak pernah sekali pun pergi menuntut ilmu hadis dalam mengharapkan keredhaan Allah’. Ulas Imam Az Zahbi ‘satu golongan lagi yang menuntut ilmu pada mulanya bukan kerana Allah. Mereka mendapatkannya dan menjadi hebat. Kemudian mereka memuhasabah diri mereka. Maka ilmu mengheret diri mereka kepada keikhlasan di pertengahan jalan’. Ringkas sahaja reaksi ayah. ‘Oh, begitu pula’.

Saya tidak tahu siapakah yang sanggup memikul amanah. Menyelamatkan umat dan memecahkan mata rantai. Apa yang saya tahu, kaki saya melangkah keluar dari majlis itu dengan hati berbuku sebu.

Friday, 10 April 2009

Mi Udang Kuala Sepetang

Entah kenapa, saya sangat suka dengan nama Kuala Sepetang. Semacam ada unsur sastera. Amat estetika dan terlalu puitis. Boleh buat novel atau cerpen dengan nama ini. Saya pun berkhayal. Matahari terbenam di sebuah perkampungan nelayan. Tempat berlangsung kisah cinta pemuda melayu dan anak gadis cina. Segala-galanya berbeza.

Berlainan pula dengan mi udang. Apabila diberitahu ramai orang tentangnya, sedikit pun tidak mengecurkan air liur. Malam sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, Puan Ainul yang mengajar bahasa Inggeris menghantar sms dan bergurau meminta saya membawa pulang mi udang -hanya selepas itu saya terkesan dengan nama ini.

Keesokan hari atas permintaan saya, kami bergegas mencari mi udang. Mengambil jalan menuju ke Trong. Mahu pergi ke Zetty Mi Udang yang sangat masyhur. Juga popular dengan gelaran mi udang bawah pokok manggis. Sebabnya jelas. Memang banyak pokok-pokok manggis yang mengelilingi restoran. Namun tiada rezeki di sini. Restoran belum beroperasi. Semasa berpatah balik, saya perhatikan kebanyakan restoran mi udang masih ditutup.

Maka bermulalah langkah ke Kuala Sepetang. Walau pun agak jauh. Di situlah sebenarnya tempat asal mi udang jadi terkenal.

Dalam perjalanan, saya mendapat tahu pekan Kuala Sepetang terletak dekat dengan laut. Kebanyakan penduduk adalah orang cina. Seorang kawan yang sempat berada di sini pada hari mengundi menyatakan orang-orang cina duduk di kopitiam dengan sebelah tangan meneguk arak dan sebelah tangan lagi memegang bendera PAS. Akal fikiran saya terkatung-katung. Ada sisi baik dan sisi buruk di situ.

Setelah sampai, kami melilau di tengah-tengah pekan. Kawan saya terpaksa menelefon untuk mengenal pasti jalan mana mengarah ke warung mi udang Stall Salleh. Katanya, warung ini jarang benar menutup pintu buat para pengunjung. Nasib menyebelahi saya. Rezeki mi udang di Kuala Sepetang rupanya.

Kuala Sepetang. Suatu nama indah. Saya mahu menyambung khayalan. Kisah cinta bertentangan. Mereka berpisah. Biar pun cinta dari hati yang paling dalam. Saya lebih suka begitu sejak akhir-akhir ini. Kerana kehidupan bukan sekadar cita. Perkahwinan bukan hanya cinta.

Kisah Pilihanraya

Demam pilihanraya sudah berakhir. Baru sahaja selesai tiga hari sudah. Banyak perkara yang saya saksikan. Dengan mata kepala sendiri. Menjelajah sebahagian besar kawasan Parlimen Bukit Gantang. Menjadi saksi kepada banyak peristiwa. Lebih banyak daripada pilihanraya Kuala Terengganu.

Hari mengundi saya berada di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Pengkalan Aur. Berdekatan Markas Besar PAS di Air Kuning. Rupa-rupanya petugas PAS di sini dibantu oleh PAS Terengganu kawasan Kuala Nerus. Oleh sebab kampung saya terletak di Kuala Nerus, ramai sekali muka-muka yang biasa dikenali tampak hadir. Serasa-rasa seperti berada di kampung sendiri.

Sekolah Menengah Pengkalan Aur menjadi salah sebuah pusat pembuangan undi paling panas. Sebelum saya tiba, FRU melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan bibit pergaduhan yang mula menyala. Puncanya, seorang penyokong PAS ditolak. Menyebabkan penyokong-penyokong yang lain pergi meluru. Penyokong-penyokong Umno yang melihat keadaan itu, meluru juga untuk mempertahankan penyokong mereka. Berlaku insiden yang tidak diingini. Penyokong Umno membaling kerusi dan tiang bendera.

Tidak kurang juga yang menggelikan hati. Apabila orang India datang mengundi, peraih undi PAS melaungkan Makkal Sakhti. Yang menyebabkan gelak tawa orang ramai, beberapa pemuda menjerit-jerit laungan ‘makan sate’. Beberapa orang lagi menyela ‘makan sate Jabi’ (jika Selangor popular dengan Kajang, Terengganu pula popular dengan sate Jabi).

Sehari sebelum itu, saya menguntum senyum apabila melawat Markas Tindakan Dun (MTD) Sungai Tinggi yang berada di dalam Dun Trong. Penginapan kontijen PAS Selangor. Mata saya melirik pada papan putih yang terlakar peta Dun Trong. Hendak tahu kenapa?. Setiap nama diterjemah kepada bahasa Inggeris. Bukit Gantang Selatan menjadi South Kilogram Hills. Kampung Che Rahmat bertukar kepada Mr. Bless Village. Batu Hampar diubah dengan nama The Rock. Gila-gila juga kepala or ang-orang PAS di sini.

Sepanjang enam hari berada di Bukit Gantang, saya menyaksikan semangat yang membuak-buak. Jika Dr. Yusuf Qardawi kerap menyebut di dalam buku-bukunya hamasatus syabab waa’qlaniayyatus shuyukh (semangat para pemuda dan kebijaksanaan golongan tua), saya melihat semangat itu menjelma dalam diri kedua-duanya. Orang muda dan orang tua. Malah kanak-kanak sekali pun.

Pasangan tua suami isteri memasang bendera dan stiker yang begitu banyak pada kereta mereka tanpa segan silu. Kelihatan begitu semangat dan sentimental. Seorang kanak-kanak pula melaung-laung ‘hidup Islam’ dan ‘hidup PAS’ dalam pada menahan matahari dan hujan yang berselang seli. Usah cerita semangat orang muda, memancar di mana-mana sahaja.

Kisah-kisah sejarah. Saya mahu menjadi sejarah itu. Sejarah perjuangan yang tidak pernah padam.

Friday, 27 March 2009

Islam Yang Menembusi Ruang

Suatu hari Ahad yang santai, saya dan seorang rakan berbual-bual tentang filem Ketika Cinta Bertasbih yang sedang sibuk menjalani penggambaran di Mesir. Berbual dan terus berbual. Saya menyimpulkan kebaikannya kewujudan produk hiburan kormesil yang bertemakan Islam. Kebetulan pula sebelum itu saya baru sahaja selesai membaca artikel dari majalah Forward yang berjudul ‘Here’s to Muslim Lifestyle!’. Antara perkara yang menjadi pokok bicara ialah patung mainan kanak-kanak dan pakaian mandi versi Islam.

Serta merta terlintas dalam benak kepala saya ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Seingat saya Tuan Guru mengulas mengenai syiar Islam yang sepatutnya berada di mana-mana. Menteri Besar Kelantan mahu segala benda positif mestilah mempunyai tanda nama Islam untuk menonjolkan agama suci ini sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Saya masih mahu meraikan dan melihat kebaikan dengan kehadiran Islam dalam ruang-ruang yang baru ini meski pun terdapat tentangan tertentu. Bahkan dari rakan-rakan terdekat. Saya dapat mengagak sudut-sudut negatif yang ditimbulkan. Barangkali kefahaman saya terhadap Islam; setelah melalui proses lebur antara teori dan praktikal, konsep dan amalan, banyak dipengaruhi oleh pemikiran Dr Yusuf Al Qardawi. Juga seperti biasa, tidak ada yang maksum melainkan Rasulullah SAW, turut ada beberapa pendapat ulama besar itu masih di peringkat tahaffuz dalam diri saya yang jahil ini. Berhakkah saya untuk merasa tahaffuz dan tidak ithmi’nan terhadap segala pendapat itu?.

Sudah sunnah manusia berselisih pandangan. Keras dan lembut itu relatif. Sebaiknya pertengahan yang berdasarkan hujjah dan dalil menjadi pilihan. Sehinggakan sebahagian orang menganggap manhaj Ikhwanul Muslimim itu sudah terlalu bermudah-mudah. Sedangkan sebahagian lagi menganggap itu pertengahan yang baik.

Semasa rehat mengambil sarapan, rakan sekelas saya yang berasal dari Yaman dan menetap di Arab Saudi bertanya tentang Ikhwanul Muslimin. Berhati-hati saya mengujar untuk mengelak perdebatan panjang dengan menyatakan mereka adalah baik walaupun terdapat sedikit sebanyak kekurangan. Dia tidak bersetuju dengan mengambil kira pengalamannya bersama Ikhwan selama tiga tahun. Saya memilih untuk berbincang lain kali sahaja kerana kelas mahu bermula.

Kebiasaannya kami bercerita di dalam bahasa Inggeris. Terbayang-bayang kata-kata saya. ‘Kita perlu masa yang panjang untuk berbincang soal ini dan dalam bahasa Arab’. Sebaliknya, sampai sekarang perkara itu terus lenyap dan tidak muncul-muncul lagi. Agaknya bilakah dia akan bertanya kembali kepada saya tentang Ikhwan?.

Saturday, 7 March 2009

Perhimpunan Seratus Ribu

Adakah saya seorang penakut?.

Polis-polis berpakaian preman menarik salah seorang daripada kami. Diheret dan dikilas tangannya ke belakang untuk digari. Saya dan orang-orang yang lain cuba mara untuk menariknya semula. ‘Engkau jangan masuk campur, siapa masuk campur tangkap!. Angkuh sungguh polis itu sambil menunding jari kepada seorang anak muda.

Waktu itu, adakah saya penakut?.

Penunjuk perasaan bergerak dari beberapa lokasi. Mereka menghala dari Central Market, Masjid Jamek dan Sogo. Berhimpun di Masjid Negara. Seterusnya berarak menuju ke Istana Negara. Saya mengikuti kumpulan yang bergerak dari Masjid Jamek. Di tengah perjalanan kami bergabung dengan kumpulan yang lebih besar. Ada pimpinan di barisan depan dalam kumpulan mereka. YB Mahfuz dan Salahuddin.

Mampukah dunia kembali kepada Islam dengan orang-orang yang penakut?. Agaknya tidak mengapa. Bukan semua orang Islam itu berani. Boleh saja menuruti dari belakang orang-orang yang berani.

Ketika hanya sekitar 200 meter dari Istana Negara, gas pemedih mata ditembak. FRU dan pasukan polis sudah bersiap sedia. SB-SB dapat dikenali dengan reben merah yang diikat. Kami terus mara dalam keadaan yang sukar. Cepat saja air mata mengalir kerana teramat pedih. Kulit muka kepanasan seperti mahu terbakar. Suasana kian genting. Tembakan gas pemedih mata semakin menghujan. Kami terpaksa berundur dengan lari bertempiaran.

Berfikir begitu?. Biar pun sering membaca ayat 95 surah Al Maidah kepada kawan-kawan ‘tidak sama orang-orang yang duduk dari kalangan orang mukmin, yang tidak merasa susah, dengan orang-orang yang berjihad dengan harta-harta dan jiwa-jiwa mereka’. Begitu?.

Nafas saya sudah sesak. Terbatuk-batuk dan terasa mahu muntah-muntah. Saya melarikan diri sambil memerhatikan ke mana peluru-peluru gas pemedih mata akan jatuh. Berlari dengan berhenti-henti di balik pokok-pokok besar untuk mengelak daripada terkena tembakan. Sampai di satu penjuru saya terduduk. Terbatuk-batuk dengan kuat. Seseorang menawarkan diri untuk mengesat muka saya dengan kain di tangannya. Seorang lagi memberikan garam dan air.

Buat malu dengan muslimat dan oran-orang tua. Sayang sangat pengajian di UIA. Macam tak boleh sambung tempat lain. Budak-budak undergraduate pun tak kisah. Belajar bukan sekadar tahu dan hafal fadhilat-fahilat perjuangan.

Keadaan beransur-ansur tenang. Saya mengambil peluang melapangkan dada. Kami bertanya sesama sendiri. Tentang keadaan di tempat lain dan bagaimana nasib pimpinan. Saya memerhatikan keadaan sekeliling. Seorang anak muda yang menggalas beg membuka buku lukisan dan melakar sesuatu. Saya menghampirinya dan bertanya. Dia menjawab ‘belajar architecture di UIA’. Tidak lama kemudian Unit Amal memberitahu ada arahan supaya berkumpul semula di Masjid Negara. Kami mula bersurai perlahan-pahan. Tiba-tiba gerombolan biadap SB datang menerpa mahu menangkap seorang penunjuk perasaan. Kelam kabut tercetus.

Adakah saya berselindung?. ‘Di tanya kepada Rasulullah, adakah orang mukmin yang penakut?. Baginda menjawab; ada’. Di sebalik tabir hadis nabi?. Satu lagi takwilan melepas diri dari cerdik pandai agama?. Ah, terlalu banyak persoalan yang bersimpang siur!.

Nota: Perhimpunan Seratus Ribu anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyerahkan memorandum kepada Sultan membantah Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.