Sunday 29 June 2008

Doa Ibu Demi Sebuah Takdir

Hari belum hitam. Masih berwarna warni. Wajah belum kelam. Masih ada seri. Hari-hari sukar pasti ada cita dan cita-cita. Saat ini saya amat memerlukan doa ibu. Doa ibu yang bersulam air mata. Doa ibu yang setinggi langit. Tulus dan kudus selamanya.

Saya melangkah ke universiti dengan lemah dan longlai. Tiada langsung angan-angan indah. Seolah-olah tanpa hati dan perasaan. Tidak lagi berminat menjeling tajuk-tajuk akhbar yang dibaca orang, kiri dan kanan bahu saya. Hati saya berdoa-doa dan merayu-rayu pada Tuhan yang satu. Allah maha esa. Sampai di sana, saya menelefon mushrif. Tiada talian samasekali. Saya fikir dia yang menutupnya. Menyakitkan!. Hari munaqasyah kembali menjadi hari yang paling menggerunkan.

Pagi tadi saya mencetak semula muka surat tesis yang tertinggal. Empat halaman semuanya. Bukan tiga seperti yang disangka semalam. Di bahagian akhir ada lima belas muka surat yang berulang dengan nombor yang berbeza-beza. Ini yang amat merunsingkan. Takut-takut saya terambil halaman-halaman ini yang sepatutnya berada di dalam salinan tesis yang di hantar kepada munaqish. Nau’zubillahi min zalik!.

Akhirnya saya dapat menelefonnya. Dia di Markaz Talibat (Pusat Pelajar Perempuan). Saya mengambil riksha pergi ke sana. Jika di Thailand orang memanggilnya tut tut. Semua mata tertumpu kepada saya kerana tiada pelajar lelaki yang dibenarkan masuk kecuali dengan sebab-sebab yang munasabah. Tambahan pula saya pelajar asing. Ada sedikit rasa popular. Maaf, saya tidak mampu mengawal hati saya. Dia mengerutkan dahi apabila saya menceritakan apa yang berlaku. Kemudian dia mengangguk-angguk. Saya menyerahkan tiga salinan muka surat yang hilang itu. Dia akan menelefon kedua-dua orang munaqish untuk bertanya jika ada halaman yang tertinggal. Saya pulang selepas mengambil kertas yang ditulis oleh mushrif apa yang sepatutnya ada di dalam kain pemidang munaqasyah.

Di stesen bas, saya melihat-lihat tajuk-tajuk akhbar yang dijual. Siaran BBC pagi tadi melaporkan wawancara bersama ketua pemberontak Juctice and Equality Movement (JEM) Doktor Khalil Ibrahim yang mengetuai serangan ke atas bandar Omdurman baru-baru ini. Saya mahu memastikan samada berita mengenainya sudah diterbitkan atau tidak. Saya tidak sedap hati. Rasa gelisah terus menghantui. Saya sangat-sangat berharap tidak ada yang tertinggal di dalam salinan tesis yang diberi kepada munaqish. Dan, saya akan berdoa untuk itu. Mudah-mudahan doa itu dimakbul Tuhan. Moga-moga sudah tertulis di warkah takdir Tuhan maha adil.
Segalanya bermula dan berakhir. Saya tidak tahu kisah takdir yang terakhir. Berdoalah semoga mendakap takdir yang sejahtera.

Saturday 28 June 2008

Musim Debu Merah Dan Angin Pusar Yang Berwajah-wajah

Saya sering menamakan hari-hari ini sebagai musim debu merah dan angin pusar. Saya suka nama itu. Sesekali angin pusar datang berselang seli hujan yang menerkam. Begitulah hari-hari musim ini. Cinta debu merah dan angin pusar. Dan hujan, benar-benar membangkit nostalgia
masa kecil. Penuh cita. Musim yang mengasyikkan.

Pagi-pagi. Mengadap laptop. Mencoret apa yang terlintas. Menukil apa yang terfikir. Sesudah itu, membaca tesis yang akan dimunaqasyahkan hari Rabu ini. Hanya tiga hari berbaki. Mengandai apa yang akan disoal. Mencerna apa yang bakal dijawap. Tahu-tahu tersentak. Ada halaman yang hilang. Terus membaca. Ada lagi mukasurat yang tiada!. Mula membilang dari awal sampai akhir. Tiga halaman yang hilang. Beberapa mukasurat yang berulang. Risau dan bimbang menghantui. Dalam dada dan kepala. Barangkali menujah ke ulu hati. Menimbang-nimbang sekejap. Tidak tahu samada naskhah yang dihantar kepada munaqish juga begini atau tidak. Amat runsing sekali. Takut-takut naskhah bersama munaqish ada halaman hilang yang tidak diketahui. Besok saya akan bertemu mushrif. Membawa bersama salinan mukasurat yang tiada itu. Masalah lagi!. Debu merah dan angin pusar kali ini terlalu banyak dugaan!.

Tengah-tengahari. Mandi dan solat. Masak dan makan. Kemudian menyambung baca tesis. Sambil-sambil mendengar radio. Dunia hari ini tiada yang sangat-sangat menggemparkan. Krisis pilihanraya di Zimbabwe, gencatan senjata antara kumpulan pejuang yang diketuai Hamas dengan penjajah Israel, Sidang Kemuncak antara Rusia dan Kesatuan Eropah di salah sebuah bandar di Siberia dan tajuk-tajuk kecil yang lain termasuklah pizza Napolitana dari Itali. Yang pasti, umat Islam makin tersepit dan terhimpit. Saya turut mendengar BBC Extra yang dulu menjadi rancangan kegemaran tetapi semakin menurun rasa itu kecuali ada topik atau dialog yang hangat. Siaran Monte Carlo sudah lama hilang. Saya kira, gara-gara debu merah dan angin pusar.

Petang-petang. Bermain sepak takraw. Mengeluarkan peluh. Tidak sukar melihat manik-manik air keluar dari liang-liang roma di musim-musim begini. Oh debu merah dan angin pusar!. Tetap mencabar hari ini. Walau tidak ramai yang menyertai. Mesti menang untuk kekal dalam gelanggang.

Malam-malam. Menghadiri kelas Rasail An Nur. Teman saya yang menjadi penyampai. Setakat ini hanya sekali sahaja tidak hadir. Saya tidak pernah membaca Rasail An Nur yang asalnya ditulis dalam bahasa Turki dengan nama Sozler. Pernah mendengar nama pengarangnya suatu ketika dahulu. Selepas itu hanya pernah menyelak-nyelak helaian bukunya. Tahun ini, musim debu merah dan angin pusar mengajar ilmu baru.

Debu merah dan angin pusar. Bahang panas dan hujan ribut. Saya ingin menyentuh dan menjamah musim ini sepuas-puasnya. Saya akan merinduinya suatu hari nanti. Saya menganggap musim ini bagai puisi terakhir menanti hari-hari terakhir. Terima kasih debu merah dan angin pusar.

Friday 27 June 2008

Saya Bertemu Lagi Hari-hari Mulia

Matahari terbit dan terbenam. Dan saya masih di sini. Hari ini saya bertemu lagi. Saya bertemu hari. Hari-hari Jumaat yang mulia. Setelah berdoa, saya berharap dan bermimpi, Jumaat ini lebih cemerlang dari dulu-dulu. Walau bertahun dulu.

Tiada mimpi yang mengetuk pintu hati. Cuma pagi ini, rutin harian sejak tiga tahun lalu tidak dapat diteruskan kerana eletrik terputus dari jam 2:30 pagi tadi –mendengar slot Dunia Pagi Ini dalam siaran BBC berbahasa arab. Radio usang itu memang banyak berjasa. Siapa tahu, dia bakal menjadi saksi suatu hari nanti. Saya tahu, usianya tidak panjang jika saya pulang ke tanah air. Tanah tercinta. Tanah tumpah darahku.

Tidak lama kemudian saya mendapat berita akan diadakan ceramah Shekih Muhammad Syalbi jam 9:00 pagi. Terkeliru. Siapa Sheikh Muhammad Syalbi?. Jika dia pengarang buku-buku sirah dan sejarah Islam yang terkenal itu, patut sekali tidak dilepaskan. Buku-buku karangannya terbaris di kebanyakkan perpustakaan universiti. Saya menghadirkan diri. Saya cuba mendapatkan latar belakang penceramah. Gagal. Tidak mengapa. Kami akan bersama-samanya sekali lagi.

Selesai solat Jumaat, makan tengahari di kedai seorang pelajar Thailand yang baru dibuka. Jamuan promosi. Selepas itu meninjau-ninjau sebentar buku-buku di kedai kecil betul-betul berhadapan pintu gerbang International University of Afrika. Dibina dari keping besi ibarat sebuah kotak besar. Gigih sekali. Berpanas mentari petang. Menahan terik mentari. Mencari secebis rezeki buat anak dan isteri. Dia pasti seorang lelaki yang ayah.

Sungguh, hari-hari yang tidak berubah. Meskipun saya sudah berubah. Banyak sekali. Hanya satu. Harapan dan impian saya, Jumaat ini mampu menyuci dosa-dosa yang melekat dan berkarat. Sebab, seperti kata Sheikh Muhammad Syalbi; pemimpin dan duat tidak lahir dari pemuda-pemuda yang tenggelam dalam kemaksiatan. Jumaat datanglah lagi!.

Thursday 26 June 2008

Hari-hari Panas Membahang

Hari ini adalah hari ini. Tidak banyak yang berbeza. Seperti hari-hari biasa yang berlalu. Hari-hari panas membahang. Setiap kali pulang dari universiti, saya suka melihat skrin televisyen iklan yang besar, terpacak di simpang masuk ke Garif Street; yang turut menyiarkan suhu hari-hari panas membakar. Suhu hari ini berada pada tahap 45 darjah celcius. Saya tersenyum. Memang sayup terbakar kehangatan.

Jam 11.00 pagi saya keluar dari rumah menuju ke universiti. Berjalan kaki sekitar sepuluh minit sebelum sampai ke perhentian. Selepas itu, saya mampu menarik nafas lega berada di dalam van yang meluncur laju menghala ke bandar Khartoum. Tiada angan-angan yang berlegar di kepala saya tidak seperti selalunya. Tahap keterujaan sudah menurun. Tarikh munaqasyah sudah ditetapkan. Hari Rabu hadapan. Masih ada waktu bersenang-senang. Ah, memang dasar pemalas!. Allahumma inni a’uzubika minal a’jzi wal kasal.

Di dalam van yang menderum mata saya melirik tajuk kecil akhbar Akhir Lahzah yang dibaca seorang lelaki yang berada di sebelah kiri saya. “Mereka Tewas Dengan Drama, Politik dan Sukan: Romantis Orang Turki Menggoda Wanita Arab”. Saya menolak sedikit jarinya yang menutup permulaan tajuk. Dia meraikan. Saya mahu memastikan tajuk tersebut. Ada gambar seorang perempuan arab memegang bendera Turki semasa perlawanan bola sepak Euro 2008. Berfikir sejenak. Saya melupakan niat suci mahu meminjam suratkhabar lelaki itu. Saya batalkan saja hasrat murni mahu membaca artikel itu.

Setelah sampai di stesen bas bersebelahan stadium bola sepak kelab Al Marikh, saya turun untuk menaiki sebuah lagi van pergi ke universiti. Kira-kira 500 meter sebelum melintasi lembah pertemuan sungai biru dan putih melalui jambatan tinggalan zaman kolonial, saya tersedar, rupa-rupanya kerja-kerja penyediaan tapak projek mega As Sunuth di tebing sungai nil putih itu sudah hampir siap –projek pembangunan paling rasaksa setakat ini, sedangkan hari Isnin yang lepas saya sudah pun melalui jalan ini. Rumput-rumput hijau, bunga warna warni sudah mula ditanam. “Antara kejayaan Al Inqaz”, kata orang yang mendokongnya. Hari Isnin minggu hadapan, Republik Sudan akan menyambut ulang tahun Revolusi Al Inqaz yang ke 19.

Saya sampai di universiti pada jam 12:00 tengahari. Mushrif tesis, Doktor Qasamallah Maryud belum lagi kelihatan. Saya sudah mengagak. Saya menelefonnya. Dia mengangkat panggilan. Dengan suara yang perlahan dia berkata “tunggu di pejabat”. Jam 2:30 petang dia muncul. Dia tersenyum sambil berkata: “kami ada mesyuarat”. Ketika itu saya merasakan khutbatul munaqasyah yang sepatutnya dibetulkan dan diserahkan kepada saya hari ini belum lagi siap. Saya tidak begitu kecewa. Ini asam garam pelajar sarjana di sini.

Kedatangan yang kosong ke universiti hari ini terisi apabila mushrif menyatakan ada munaqasyah yang sedang dijalankan. Selepas meminta kebenaran, saya masuk ke bilik munaqasyah, “Perkongsian Makna Menurut Ulama’ Usul Dan Kesannya Di Dalam Masalah Furu’ Feqah”. Tajuk tesis yang sedang dibentangkan. Lupa untuk bertanya, pelajar sarjana atau doktorat. Saat ini saya berimaginasi bagaimana jika saya yang sedang membentangkan tesis tersebut. Ya, tidak lama lagi. Hari Rabu hadapan. Ada sedikit getaran debar di jantung.

Kaki melangkah keluar dari perkarangan universiti pada jam 3:00 petang. Keyakinan sudah bercambah dalam diri berbanding beberapa hari sebelum ini. Banyak yang dapat dimanfaatkan dari munaqasyah yang diadakan tadi. Syukur, rasa gusar sudah bertukar. Saya pulang ke rumah mengharungi mentari petang yang terik. Tidak sia-sia dimamah matahari sehingga bermandi peluh. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini!.

Sebuah Pembukaan: "Ramai orang yang berilmu tidak menulis".

Saya bermenung-menung. Melihat jauh. Sayup mata memandang. Menilai hati dan perasaan sendiri. Ada sesuatu yang mahu diluahkan. Mahu dilontarkan. Sama-sama berkongsi. Mungkin.

Ini nukilan pertama saya. Untuk blog yang baru lahir. Belum lagi mencecah usia. Saya tertanya-tanya dan menanya-nanya. Apa yang patut ditulis?. Ada yang menyaran; ceritakan saja maksud dan niat saya menyertai dunia penulisan siber.

Ya. Kenapa saya menulis?. Mengapa saya menulis?. Kenapa dan mengapa ya?. Saya teringat kata-kata ayah. Satu ketika dulu. Masih terawang awangan. “Ramai orang berilmu tidak menulis”. Waktu itu saya sudah faham maksud ayah. Walau tidak begitu mengesankan. Apalagi mahu meransang tekad dan kudrat saya. Sekadar menyemai benih yang diharapkan tumbuh subur.

Namun saya bukanlah seorang yang berilmu. Dan orang yang berilmu bukannya seperti saya. Saya seorang pelajar. Saya belajar. Masih belajar. Belajar dan belajar. Barangkali saya belum lagi berdiri tegak dalam makna tutur kata ayah. Boleh jadi jasad saya belum larut dalam falsafah karangan ayah.

Pun begitu, masa mematangkan. Zaman mendewasakan. Saya mula mengerti madah ayah yang kemas terkunci. Saya mula merungkai untaian mutiara kata ayah yang berteka teki. Saya sedar patah-patah kalimah ayah yang penuh sangsi. Satu persatu. Sedikit demi sedikit. Akhirnya saya berada di sini. Saya bersedia di garisan. Saya berdoa semoga Allah memberkati.