Thursday 31 July 2008

Menari Bersama Hari-hari Yang Menari.

Saya terus bergerak mengikut hari-hari yang berputar. Mengejar masa-masa yang beredar. Rutin harian selepas munaqasyah sedikit berbeza daripada sebelumnya. Minggu ini kesibukan sangat menghimpit. Pembetulan tesis, forum Isra’ Mikraj, menulis tentang Darfur untuk buletin AFMY (Asian Federation Of Muslim Youth) dan mencari rumah sewa baru yang akan didiami bersama rakan-rakan yang lebih ramai. Tidak mengapa. Sangat perlu menyesuaikan diri dengan kesibukan. Saya tahu. Hari-hari yang bakal tiba akan lebih meletihkan.

Minggu lepas, saya menemui mushrif. Mahu kepastian. Pembetulan dan penambahan mana yang perlu dibuat. Hasilnya, saya dikehendaki membaca semula semua hadis-hadis dan menyatakan bersamanya hukum feqah secara ringkas. Saya membalas. Jika saya perlu menulis fiqh hadis bermakna saya akan menulis fiqh bagi semua hadis-hadis yang berjumlah empat ratus dua buah. Mushrif menerangkan bahawa saya hanya perlu meletakkan fiqh-fiqh hadis yang kabur dan memerlukan penjelasan lanjut. Saya mengangguk-angguk. Lalu dia mengingatkan supaya jangan lupa menyertakan gharibul hadis. Dalam perjalanan pulang fikiran saya melayang, tidak mudah rupanya mengenggam segulung ijazah sarjana. Agaknya, bilakah saya akan dapat pulang ke rumah?.

Dunia politik tempatan yang dicatur tangan-tangan kuasa barat semakin tegang. Hari ini misi UNAMID (United Nation Mission in Darfur) akan tamat. Dua hari lepas, usaha Libya dan Afrika Selatan dengan sokongan Rusia dan China untuk memasukkan perenggan yang menyatakan sebarang prosedur undang-undang ke atas presiden Sudan perlu digantung selama setahun bagi mengelakkan gangguan terhadap proses damai, sekiranya mandat UNAMID mahu disambung –ditolak mentah-mentah negara barat, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat.

Malam semalam, sebelum forum Isra’ Mikraj bermula, hujan renyai-renyai turun mececah tanah. Tengahari ini pula, angin pusar mengelabui langit cerah. Saya kurang gembira kerana hujan lebat belum lagi datang menjengah. Walaupun pada malam yang sama saya mendapat satu berita gembira. Daripada radio lama yang setia menemani; Mahkamah Perlembagaan menolak permohonan pendakwaraya yang mahu mengharamkan Justice and Development Party (AKP), pemerintah kerajaan Turki ketika ini. Mereka membuat perancangan dan Allah membuat perancangan. Minta-minta, sinar-sinar Islam terbit bertebaran biar pun daripada mana ufuknya.

Monday 21 July 2008

Angin Pusar Yang Bersahabat

Angin pusar di sini kerap kali berubah. Terkadang menjelma dengan wajah yang sebenar. Bertiup kencang semahu-mahunya. Dan terkadang muncul dengan belas kasihan. Bertiup dengan sederhana. Sekali-sekala bertukar menjadi angin semilir yang lembut. Malam semalam saya tidur di atas bumbung selepas mendapati ada angin semilir yang membelai. Kira-kira jam tiga pagi, angin pusar menjadi kejam. Saya turun ke bawah merajuk dari angin pusar yang sedang meribut. Walaupun begitu, esok pagi saya tetap mahu bersahabat dengannya.

Saya terpaksa bertungkus lumus menyiapkan pindaan tesis secepat mungkin kerana dua minggu lagi mushrif akan bertolak ke Algeria. Lupa untuk bertanya bila dia akan pulang semula ke sini. Sebab itulah tidak ada sebarang entri baru dan mungkin selepas entri ini saya akan membiarkan sahaja blog untuk dua tiga hari lagi. Maaf, walaupun saya tahu tiada siapa yang sudi membacanya.

Kebelakangan ini, Khartoum menjadi kota orang-orang yang marah. Hampir setiap hari demontrasi diadakan semenjak Pendakwa Raya Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Luis Mureno Ocampo memohon waran tangkap terhadap presiden Omar Al Bashir. Saya teringat pada novel Faisal Tehrani, Cinta Hari-hari Rusuhan. Penunjuk perasaan mahu meluahkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap presiden mereka. Segelintir penganalisis politik berpendapat kesemua perhimpunan dianjurkan oleh National Congress, parti politik yang memerintah. Tetapi pemimpin kerajaan menyatakan bukan hanya mereka yang menggerakkan perhimpunan aman ini, sebahagian besar daripadanya melibatkan individu yang tiada kaitan langsung dengan parti pemerintah. Hari ini, sejuta orang-orang yang marah akan berhimpun.

Selepas Asar tadi, kami pergi ke Universiti Afrika untuk bermain bola sepak bagi Liga Munazzamah (Pertubuhan Kebajikan Pelajar Asing) yang baru bermula. Padang yang ditetapkan untuk perlawanan dipenuhi air. Permainan terpaksa ditangguhkan. Setiap tahun masalah yang sama. Membosankan.

Beginilah cerita saya. Masih terus bersama angin pusar. Saya mahu bersahabat dengannya. Memahami kenapa angin pusar selalu berubah-ubah. Cuma saya ingin bertanya. Bila angin pusar mahu membawa hujan menemui saya?. Saya juga ingin bersahabat dengan hujan seperti saya bersahabat dengan angin pusar.

Tuesday 15 July 2008

Rejab Yang Damai

Rimbun sekali kasih sayang tuhan pada kita. Kerana itu, ada kurniaan bulan-bulan pengampunan, sekawan bulan-bulan haram yang suci. Sememangnya Allah maha rahmat dan rahim.

Hampir dua minggu Rejab datang menjelma. Baru sahaja saya tersedar. Baru hendak bertanya khabar. Maaf Rejab, saya terlalu alpa. Enggan menabur janji pada Rejab kali ini. Takut untuk mengikat janji manis bersama Rejab. Tidak mampu sebenarnya. Sebab Rejab sangat mulia. Rejab terlalu damai.

Umat yang luka berdarah boleh terhibur dengan Rejab tahun ini. Banyak-banyaklah berdoa. Rajin-rajinlah menadah tangan. Dengan khusyuk dan tunduk. Agar sanggup mengangkat kepala dengan gagah dan izzah.

Orang dulu-dulu, berkurun dulu, amat cinta pada Rejab. Mereka amat teduh dan redup bila bersama Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Mereka menahan diri dengan berpuasa. Yakin dengan sabda nabi yang berbunyi: “berpuasalah daripada bulan-bulan haram”. Saya pun berpuisi untuk orang-orang itu:

Sekumpulan orang-orang
Dinamakan Allah di dalam Al Quran

Kata orang
Itu Al Quran
Yang berjalan-jalan di bumi tuhan

Muhajirin...
Mengacu pedang demi hijrah
Ansar…
Mengadang perisai menunggu musuh Allah

Mereka dipersaudarakan persaudaraan iman
Mengenal erti kasih sayang sesama insan

Di Badar di Uhud
Mereka berperang demi Islam
Dan mereka bersama-sama di Baiatur Ridhwan

Mereka sujud bersama
Menyembah Tuhan alam semesta
Mereka mengalirkan air mata
Mengenang api neraka

Allahumma barik lana fi rajab wa syaa’ban wa ballighna ramadhan. Ya Alah, berkatilah kami di dalam bulan Rejab dan Syaa’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Rejab, damai-damaikanlah.

Nota: Puisi ini bertajuk “Sekumpulan Orang-orang” dihasilkan ketika berada di Yaman pada tahun 2002 buat mengenang sahabat-sahabat baginda S.A.W. Disiarkan kali pertama dalam majalah tahunan As Syabab Persatuan Mahasiswa Malaysia Di Sudan (PMMS).

Monday 14 July 2008

Mengiringi Hari-hari Yang Gerimis

Sudah beberapa hari saya menunggu hujan lebat yang menyimbah bumi. Merindui semula masa silam yang damai. Petang semalam saya naik ke bumbung. Suka melihat awan yang membawa hujan. Saya perhatikan, jauh dari rumah ada awan kelam yang berganti-ganti kilat cerah sambung-menyambung.

Selepas seminggu bersantai dan seminggu mengadap laptop, semalam saya mula membuat pembetulan tesis yang dipinda semasa munaqasyah. Tidak terlalu memeningkan. Sungguhpun masih perlu berbincang dengan mushrif.

Sepatutnya hari ini saya pergi ke universiti. Sebaliknya kami mendapat arahan supaya menghadkan pergerakan. Ada demonstrasi anti Barat dan United Nation. Mungkin di beberapa tempat yang berlainan. Khuatir takut-takut tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas. Sebenarnya saya tidak bimbang sangat perkara itu. Pengalaman menyertai perarakan membantah masjid Babri yang diroboh penganut hindu, menghidu gas pemedih mata ketika demam pilihanraya, kedua-duanya semasa di Pakistan dan mogok membantah kenaikan harga minyak waktu di Yaman -begitu mendewasakan. Saya teragak-agak kerana hari Isnin mushrif mempunyai jadual yang ketat dan saya tidak mahu membuatnya terkejar-kejar. Nampaknya, belum berkesempatan diiringi angin semilir yang lembut kerana bahang panas sudah pergi sejak tiga hari yang lalu.

Tiada yang sangat-sangat mencuit perasaan. Pagi yang amat menyenangkan. Sesekali ada rasa tidak sabar mahu pulang ke tanahair. Dan sesekali ada rasa sayang mahu meninggalkan tanah sebidang ini. Di luar sana, kadang-kadang ada renik halus yang menyentuh. Mudah saja membuat saya mengukir senyum. Masa kecil, kami adik beradik sering mengharap musim tengkujuh pantai timur. Musim itu akan ada air pasang; anak sungai yang airnya mula menghijau kejernihan. Kami pun mula membuat rakit batang pisang. Mula sibuk membuat joran. Mahu mengail anak-anak ikan yang galak berenang di permukaan. Ah, sangat mengasyikkan zaman dulu!.

Langit masih malu untuk menangis. Semalam, hanya gerimis nipis yang menitis. Bukan seperti yang disangka. Hari ini, saya menunggu lagi. Langit, curahkanlah air mata yang bergenang.

Sunday 13 July 2008

Sekolah Pemikiran Daripada Kawan-kawan

Pensyarah Tafsir semasa Pra Master (Tamhidi) dahulu, Doktor Hamzah Yusuf pernah berkata: “ikan yang di laut tidak ada di dalam sungai dan ikan yang di sungai tidak ada di dalam laut”. Dia berkata begitu semasa menyarankan supaya kelas tafsir lebih menjurus kepada perbincangan. Memberi dan mengambil.

Sepanjang jalur kehidupan, saya belajar dengan sesiapa sahaja. Dan rakan-rakan yang berada di sekeliling menjadi guru-guru yang sangat berjasa. Walaupun begitu, saya tidak pernah memberitahu bahawa saya telah menitip butir-butir berharga dalam diri mereka. Barangkali saya seorang yang egois. Benar, satu sikap buruk yang perlu dikikis.

Meski pun sebenarnya mereka tidak pernah mengajar saya. Tetapi sayalah yang belajar daripada mereka. Namun saya sedar. Mereka tetap seorang guru. Maksud ini saya fahami dari lafaz penuh hikmah Saidina Ali bin Abi Talib radiyallahu anhu: “sesiapa yang mengajarku satu huruf maka dia telah menjadi guruku”.

Saya mempelajari dari seseorang bagaimana mahu mengenali manusia. Saya berguru makna yang mendalam sebuah ketenangan dari seorang yang saya gelarkan sebagai lelaki optimis terakhir. Saya berusaha mencapai secebis keikhlasan yang suci dari allahyarham ustaz Azamiruddin. Dan saya tidak lupa, seorang teman yang masih nakal-nakal ketika itu, yang memberi ilmu tersirat analisis dunia politik.

Di sini, lembah pertemuan dua sungai Nil, saya menimba ilmu yang dilontar rakan-rakan seperjuangan. Memahami sesuatu yang berlainan daripada apa yang disangka. Cuba berfikir dan berada di tempat lawan. Berfikir dari rangka kebencian diri sendiri. Merangkul kemas ilmu-ilmu yang tidak pernah diketahui. Paling penting, terus membajai biar teguh sikap menginsafi yang ditanam sejak dulu.

Dua hari sebelum munaqasyah, sewaktu pulang ke rumah dari universiti, saya terpandang kanvas belakang sebuah riksha (tut tut) yang tertulis: “Hidup ini adalah sekolah dan suasananya adalah guru”. Menerawang sekedip mata. Menelah kalimah yang sangat membekas. Saya begitu terkesan. Kerana doa itu senjata orang mukmin, saya pun berdoa lagi. Allahumma rabbi zidni ilma. Kepada Dia yang maha mengatur kehidupan, semoga senantiasa muncul orang yang mengasuh dan mendidik dalam sekolah yang besar ini.

Saturday 12 July 2008

Gempar: Sudan Bakal Bergolak Lagi?

Siaran BBC versi bahasa arab semalam melaporkan bahawa Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Lahai, Luis Mureno Ocampo akan menyerahkan senarai baru tertuduh yang terlibat di dalam jenayah di Darfur kepada mahkamah yang berkemungkinan besar merangkumi nama presiden republik Sudan Umar Al Bashir pada hari Isnin depan. Dijangka senarai itu mengandungi dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah pembersihan etnik. Sebelum ini mahkamah telah pun menamakan dua tertuduh dari kalangan pegawai tinggi Sudan, Muhammad Harun, Menteri Hal Ehwal Kemanusiaan dan Ali Qushaib, Pegawai Kanan di Jabatan Pertahanan Awam.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bimbang tindakan Ocampo yang meletakkan nama presiden sebagai salah seorang tertuduh akan meletupkan suasana yang sedia panas. Seorang pegawai PBB berkata: “langkah seperti ini mungkin menghalang proses damai di wilayah itu (Darfur) dan akan mendatangkan bahaya terhadap pasukan pengaman di Darfur dan mendedahkannya kepada serangan balas dendam”.

Menurut laporan BBC hari ini di dalam Slot Dunia Pagi Ini, pegawai tinggi PBB di Sudan sudah pun mengarahkan pasukannya mengadakan latihan menyelamat sebagai persediaan meninggalkan negara ini jika tercetus sebarang huru hara akibat daripada prosedur itu.

Agensi berita France Press memetik kenyataan Abdul Halim Abdul Mahmud, Duta Sudan di PBB kepada akhbar Washington Post sebagai berkata: “Ocampo bermain dengan api” dan beliau memberi amaran mengenai apa yang dinamakan sebagai akibat buruk hasil daripada prosedur itu. Beliau turut berkata bahawa prosedur ini diambil selepas Sudan menyaksikan beberapa kejayaan seperti undang-undang pilihanraya yang baru diluluskan, perlantikan bekas perdana menteri Gabon sebagai Pesuruh Jaya Tinggi Darfur, beberapa perjanjian mengenai pembentukan pasukan pengaman bersama di Darfur dan lain-lain. Di dalam kenyataannya kepada media, kerap kali beliau menyatakan Ocampo mempunyai sikap permusuhan terhadap Sudan. Kerana itu di dalam salah satu kenyataannya beliau menyifatkan Pendakwa Raya itu sebagai penjenayah.

Kerajaan Sudan berhujah bahawa mahkamah tidak berkuasa untuk menghakimi rakyat negara itu kerana Sudan tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan badan PBB itu.

Menteri Negara Bagi Hal Ehwal Luar Negari Sammani Al Wasilah berkata: “langkah ini akan merumitkan lagi krisis Darfur”. Beliau menambah sepatutnya usaha-usaha masyarakat antarabangsa hendaklah menjurus ke arah membawa kumpulan-kumpulan pemberontak menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan.

Salah seorang Penasihat Presiden, Abdullah Ali Masar menyifatkan mahkamah sebagai bermotifkan politik dan dieksploitasi untuk menekan negara-negara dunia ketiga. Beliau menegaskan bahawa krisis Darfur boleh diselesaikan secara dalam negeri dan maklumat yang diperolehi daripada laporan Ocampo memberi isyarat kepada kumpulan bersenjata supaya tidak menyertai perundingan dengan kerajaan.

Jurucakap Kementerian Luar Amerika Syarikat, Shown Maccomark ketika mengulas perkara ini berkata: “Pendakwa Raya akan mengajukan kepada mahkamah hari Isnin depan maklumat-maklumat dan meminta waran tangkap dikeluarkan”. Semasa menjawab soalan sidang akhbar di Washington mengenai kemungkinan presiden Umar Al Bashir berada di dalam senarai tertuduh, beliau berkata: “kita tunggu dan kita akan lihat apa yang akan berlaku pada hari Isnin depan dan kita akan berurusan dengan fakta yang di hadapan kita”.

Manakala jurucakap Ocampo menolak untuk memberikan sebarang penjelasan tentang perincian bukti-bukti dan senarai tertuduh yang baru.

Dalam masa yang sama, dikhuatiri kumpulan-kumpulan yang menentang kerajaan akan meningkatkan lagi serangan terhadap kedudukan kerajaan di wilayah Darfur selepas laporan ini.

Friday 11 July 2008

Jumaat Yang Meruntun Jiwa

Bumi tandus yang mengajar erti hidup bakal berganti bumi hijau yang menyemai akar jiwa dan rasa. Manusia memang begitu, menempuh zaman yang silih berganti.

Semalam, hari Khamis, saya melakukan dua perkara yang meruntun jiwa. Pertama, membaca novel islami yang tersohor, Ayat-ayat Cinta, karya penulis muda Indonesia Habiburrahman El Shirazy. Kedua, saya berbual panjang dengan ayah yang sebenarnya perbualan itu ditaip oleh Athirah, satu-satunya adik perempuan saya. Jadi, perbualan itu berselang seli di antara perbualan saya bersama ayah dan perbualan saya bersama Athirah. Saya fikir, perkara kedua inilah yang paling melonjak perasaan saya.

Hari ini, hari Jumaat, saya mengimbas kembali perbualan semalam. Saya termangu sendirian. Banyak sekali yang menikam kalbu. Bukan sedikit yang menusuk jantung. Keluarga kami sudah lama tidak lengkap berhimpun. Tetapi bukannya berpecah belah seperti gurauan seorang teman di sini. Seingat saya semenjak tahun 1998. Hari raya tahun ini terbuka luas untuk kami bersama-sama satu keluarga. Seperti kata Athirah: “reunion adik beradik”. Saya bakal meninggalkan bumi yang mengajar erti hidup. Namun, saya akan menggapai satu lagi makna hidup yang tiada bandingnya.

Saya sudah mengambil keputusan. Jika tiada sebarang aral melintang, saya akan berada di tanahair pada bulan Ramadhan nanti. Tanah yang sekangkang kera. Tempat berlibur zaman kanak-kanak. Kata saya semalam: “insyaAllah berterawih di rumah tahun ini”. Saya akan tekad berusaha menggenggam impian. Saya akan berdoa menadah tangan mendapatkannya. Sewaktu mengucapkan kata-kata itu. Saya sudah terbayang wajah emak yang sekian lama menunggu. Kasih emak yang seluas laut tak bertepi. Kasih emak yang tak pernah kunjung padam.

Dalam debu merah dan angin pusar yang tidak henti-henti, saya merasa terharu. Ini adalah kala hidup yang seterusnya dalam takdir saya. Saya mahu cekal mengharunginya tanpa melupakan masam manis buah-buah kehidupan masa lalu.

Thursday 10 July 2008

Bila Hati Berbicara Soal Iman

Puisi Untuk Gaza
(Buat Gaza Yang Dilanda 'Hujan Musim Panas')

Darah penuh tulus ikhlas
Berkurun mengalir darah
Sebuah kisah jihad yang tabah

Ahmad Yasin...
Engkau syahid di Gaza
Walau usia masih tersisa
Muhammad Ad Durrah...
Engkau wira dari Gaza
walau wajah seusiamu

Mana lagi tawadhu' Umar Al Khattab?
Terus menanti pedang Salahuddin Al Ayyubi?
Atau...
Setia menanti hari-hari berdarah?

Namun...
Masih ada Izzuddin Al Qassam
Masih ada Saraya Al Quds

Dan saat itu...
Gaza kan ada
Sinar di sebalik asap hitam
Mula terang benderang

Nota: Puisi ini dihasilkan tidak lama selepas Israel melancarkan operasi Hujan Musim Panas atau Awan Musim Panas pada 26 Jun 2006 dengan alasan bertindak balas terhadap operasi gerakan Hamas yang membunuh dua orang tentera penjajah itu dan menawan seorang daripadanya.

Wednesday 9 July 2008

Saya, Radio Lama dan Gaza

Saya tidak tahu sampai bila Gaza harus menangis. Biar pun hati saya tidak sebersih hati-hati di sana, saya tetap menangisi nasib mereka.

Saban hari saya mendengar cerita-cerita kental di tanah nan sekeping itu. Radio lama yang masih mampu menyambar siaran BBC berbahasa arab itu, banyak sekali mengajar erti hidup berjuang walau sepi dari simpati dunia. Lama sekali saya sekadar mendengar suara-suara orang berjuang tanpa mengenal wajah mereka, Ismail Haniyyah, Sami Abu Zuhri, Mahmud Zahar yang puteranya baru sahaja syahid -dan banyak lagi nama-nama lain yang gagah dan mulia.

Hampir dua tahun Gaza dipenjara. “Tiada Minyak, Tiada Gas dan Tiada Makanan” sudah menjadi tajuk biasa. Tidak mampu menyentak dhamir manusia lagi. Hosni Mubarak, Raja Abdullah (Jordan), kedua-dua negara itu bersempadan dan menandatangani perjanjian damai dengan penjajah Israel, mereka akan menjawab murka Tuhan suatu hari nanti. Tuhan yang Maha Membalas Dendam.

Mereka sedang diuji. Sungguh dahsyat. “Dan kami menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan buah-buahan..” (Al Baqarah: 155). Saya teringat kata-kata seorang teman. “Samasekali tidak sama ketakutan semata-mata dengan sebuah ketakutan yang bersama-sama kelaparan”. Katanya, dia pernah merasainya. Saya mengimbas pengalaman lalu. Kalau-kalau saya juga pernah mengalami suasana seperti itu.

Hamas yang menguasai Gaza bersetuju mengadakan gencatan senjata dengan Israel. Antara syaratnya, menghentikan kepungan ekonomi terhadap Gaza. Pintu-pintu masuk antara Gaza dan Israel hendaklah dibuka supaya bahan api dan makanan boleh dibawa masuk. Pintu Masuk Rafah yang terletak di sempadan Mesir dan Gaza juga hendaklah dibuka secara berkala. Selama ini, Israel memberi tekanan kepada Mesir supaya menutup Pintu Masuk Rafah.

Gencatan yang dipersetujui terlalu rapuh. Memang tabiat Yahudi mungkir janji. Pintu-pintu masuk dibuka dan ditutup sesuka hati dengan alasan yang dibuat-buat. Hamas menyatakan akan menghentikan rundingan membebaskan Jala’t Shalit, askar Israel yang ditawannya. Mutakhir ini Israel membuka pintu masuk Karnel. Membenarkan sedikit bahan api dibawa masuk yang hanya mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja.

“Allahumma unsurhum a’jilan ghaira ajil”. Saya akan sentiasa berdoa untuk mereka. Hati-hati yang bersih. Jiwa-jiwa yang putih. Radio lama ini, saya akan terus tabah mendengarnya. Saya mahu menanti kemenangan yang bakal tiba.

Tuesday 8 July 2008

Belajar Di Luar Negeri Jadi Lebih Sentimental?

Saya sudah terfikir mengenai perkara ini semasa masih menuntut di peringkat Sarjana Muda di Sana’a, Yaman dahulu. Saya menimbulkan perkara ini di hadapan teman-teman ketika itu. Malang sekali nasib badan, perbincangan yang ingin dicetuskan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Saya pasrah, kerap juga isu yang disuarakan oleh saya dianggap tidak perlu dijadikan tajuk perbualan.

Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang menyebabkan pendapat ini semakin menebal dalam diri saya. Pertama, seorang rakan serumah mempunyai seorang adik perempuan yang baru sahaja melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Satu ketika dia menerima sepucuk surat daripada adiknya. Selepas membaca, dia tersenyum dan berkata kepada saya bahawa kandungan surat itu sedikit sentimental dan dia tidak pernah mendapat surat yang isinya sebegitu semasa adiknya masih lagi berada di tanahair. Kedua, kakak saya yang kedua, turut belajar di universiti yang sama, dalam perjalanan menuju ke Sana’a, saya mengambil peluang melawatnya ketika transit. Saya dapat merasakan layanannya kepada saya begitu penyayang dan sentimental. Saya menghargainya dan memang itulah yang sepatutnya berlaku. Boleh jadi kerana sudah lama tidak bersua muka menyebabkan dia berkelakuan begitu. Walaupun hubungan kami rapat berbanding dengan kakak yang pertama, tetapi kami sering bergaduh sehingga pernah digelar anjing dan kucing. Maklumlah, umur kami hanya berbeza satu tahun. Namun saya tahu, air dicincang takkan putus.

Cuba anda meninjau blog-blog pelajar luar negera. Nilai sentimental dan nostalgia sangat mengukuh dalam tulisan mereka. Seperti biasa, cerita masa lampau, kenang-kenangan, kisah persekolahan dan zaman kanak-kanak menghiasi sejumlah besar ruang tulisan mereka. Saya turut merenung ke dalam diri sendiri. Sudah berkelana di luar negara hampir separuh daripada umur. Benar, sedikit sebanyak perasaan itu kian membesar.

Berjauhan dari keluarga dan kampung halaman memang menumbuhkan perasaan kasih sayang yang kuat. Apatah lagi jika perantauan kita di tempat atau negara yang asing sekali. Segala-galanya berbeza. Daripada bahasa dan budaya hinggalah kepada makanan harian. Keadaan ini menjadi lebih terasa jika ditimpa sakit teruk. Mudah sekali rasa tersentuh. Dan saat itu, keluarga dan kampung halaman senang sahaja menggamit jiwa dan rasa kita.

Sunday 6 July 2008

Cinta Dua Sungai Biru Dan Putih

Perasaan saya bercampur baur ketika ini. Saya semakin hampir dengan kisah-kisah hari terakhir di bumi ini. Bumi dua sungai biru dan putih. Bumi insan seadanya. Tidak lama lagi segala-galanya akan menjadi kenang-kenangan.

Saya membiarkan sahaja blog ini kekosongan sejak hari Isnin yang lalu. Tidak sempat menulis sebarang entri kerana kesibukan yang mencengkam dan sakit-sakit yang kadang-kadang mendatang. Dua hari sebelum munaqasyah, Isnin dan Selasa, sibuk membaca dan menghafal sebagai persediaan menghadapi hari munaqasyah yang mendebarkan. Hari Rabu (selepas munaqasyah) sehingga hari Sabtu, saya berehat-rehat. Badan saya sudah sakit-sakit sedari hari Isnin. Tetapi tidak dipedulikan sangat. Tenaga dan masa diperlukan untuk bermunaqasyah.

Munaqasyah yang sepatutnya bermula pada jam 1.30 petang terpaksa dilambatkan sehingga jam 2.30 petang. Menunggu salah seorang munaqish yang tidak dapat hadir tepat pada masanya. Kasihan pada teman-teman yang meluangkan masa; hadir memberikan semangat. Munaqasyah selesai pada jam 4.30 petang. Itu pun, setelah mushrif tesis meminta persetujuan munaqish kedua yang kelihatan ada senarai panjang kesalahan tesis di tangannya. Mushrif tesis yang juga pengerusi munaqasyah berbuat demikian memandangkan hari yang makin suntuk. Dia mencadangkan supaya diberikan saja senarai panjang itu kepada saya untuk dibuat pembetulan. Terutama gaya bahasa yang janggal kedengaran. Ini kerana tidak mungkin melanjutkan munaqasyah hingga ke petang hari. Kemudian kami diminta keluar. Mereka mahu berbincang untuk menentukan pangkat yang akan diberikan. Tidak lama selepas itu kami dibenarkan masuk. Keputusan diumumkan. Alhamdulillah, saya memperolehi mumtaz.

Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan. Walaupun hari-hari yang menakutkan sudah beredar. Lewat di belakang. Saya perlu membaiki segala kesalahan tesis sebelum dijilidkan. Selepas itu menghantarnya ke Bahagian Tesis di universiti. Kemudian, bolehlah saya membuat urusan mendapatkan sijil. Dan jangan lupa, saya mahu ke La Centre Federick Cailleux. Sudah lama tidak berbahasa Perancis, la langue francaise. Lama sungguh tidak mendengar sapaan comment allez-vouz aujourd’hui?. Semasa menunggu selama enam bulam untuk mendapatkan Biasiswa Yuran Pengajian dari sebuah NGO di sini, saya menghabiskan masa mempelajari bahasa Perancis. Sempat menghabiskan lapan daripada dua belas level kesemuanya. Pengajian setiap satu level selama dua bulan. Untuk naik ke level seterusnya perlu mencapai sepuluh daripada dua puluh markah yang ditetapkan. Pernah juga berangan-angan mahu memasuki peperiksaan DELF (Diplome D’etude de Langue Francaise). Mana tahu, dapat mendongak kepala melihat menara Effeil, dapat memudik arus sungai Seine. Semua itu di Bandar Cahaya, La Ville Lumiere.

Walau apa pun berlaku, cinta saya tetap setia di sini. Cinta dua sungai biru dan putih. Akhirnya bertemu di sebuah lembah subur. Lembah belalai gajah yang luas mendatar. Air sungai yang mengalir deras. Mengairi bumi tandus kering kontang. Segalanya sebelum sampai di perlembahan nil; antara kota raja-raja dan bumi para nabi. Sesudah itu menjujuh ke laut Mediterranean. Barangkali sungai Seine yang terkenal itu juga terhutang budi pada sungai-sungai ini. Ya, begitulah cinta saya.