Tuesday 8 July 2008

Belajar Di Luar Negeri Jadi Lebih Sentimental?

Saya sudah terfikir mengenai perkara ini semasa masih menuntut di peringkat Sarjana Muda di Sana’a, Yaman dahulu. Saya menimbulkan perkara ini di hadapan teman-teman ketika itu. Malang sekali nasib badan, perbincangan yang ingin dicetuskan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Saya pasrah, kerap juga isu yang disuarakan oleh saya dianggap tidak perlu dijadikan tajuk perbualan.

Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang menyebabkan pendapat ini semakin menebal dalam diri saya. Pertama, seorang rakan serumah mempunyai seorang adik perempuan yang baru sahaja melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Satu ketika dia menerima sepucuk surat daripada adiknya. Selepas membaca, dia tersenyum dan berkata kepada saya bahawa kandungan surat itu sedikit sentimental dan dia tidak pernah mendapat surat yang isinya sebegitu semasa adiknya masih lagi berada di tanahair. Kedua, kakak saya yang kedua, turut belajar di universiti yang sama, dalam perjalanan menuju ke Sana’a, saya mengambil peluang melawatnya ketika transit. Saya dapat merasakan layanannya kepada saya begitu penyayang dan sentimental. Saya menghargainya dan memang itulah yang sepatutnya berlaku. Boleh jadi kerana sudah lama tidak bersua muka menyebabkan dia berkelakuan begitu. Walaupun hubungan kami rapat berbanding dengan kakak yang pertama, tetapi kami sering bergaduh sehingga pernah digelar anjing dan kucing. Maklumlah, umur kami hanya berbeza satu tahun. Namun saya tahu, air dicincang takkan putus.

Cuba anda meninjau blog-blog pelajar luar negera. Nilai sentimental dan nostalgia sangat mengukuh dalam tulisan mereka. Seperti biasa, cerita masa lampau, kenang-kenangan, kisah persekolahan dan zaman kanak-kanak menghiasi sejumlah besar ruang tulisan mereka. Saya turut merenung ke dalam diri sendiri. Sudah berkelana di luar negara hampir separuh daripada umur. Benar, sedikit sebanyak perasaan itu kian membesar.

Berjauhan dari keluarga dan kampung halaman memang menumbuhkan perasaan kasih sayang yang kuat. Apatah lagi jika perantauan kita di tempat atau negara yang asing sekali. Segala-galanya berbeza. Daripada bahasa dan budaya hinggalah kepada makanan harian. Keadaan ini menjadi lebih terasa jika ditimpa sakit teruk. Mudah sekali rasa tersentuh. Dan saat itu, keluarga dan kampung halaman senang sahaja menggamit jiwa dan rasa kita.

3 comments:

Nurul Zahar said...

kata orang jarak yg jauh membuat org semakin lupa pd kita, sbb tu ada yg putus tunang, bercerai berai..tapi, kerana kasih sayang itu berlandaskan kasih kerana Allah, dan juga kerana kasih sayang itu telah terbentuk dek lantaran kasih kedua ibubapa kita, maka sejauh mana kita pergi,hubungan akan tetap utuh.
Bila berjauhan kita lebih menghargai mereka..

umaq_eiman said...

ye ke? mad anta setuju ke nih?
anta tak sentimental pon..
hehehee

~PaMpeRed bY worDs~ said...

Well.....welcome back to Malaysia...
Biar sejauh mana kamu merantau...
Loghat t'ganu kan msh ada...
Bkt ank jati t'ganu...
WheEeeeeEee.....~