Perkahwinan bukan perkara biasa. Saya seorang lelaki biasa yang akan melalui perkahwinan yang biasa-biasa sahaja.
Segalanya berakhir selepas beberapa lama. Alhamdulillah. Tuhan tempat hamba mengadu dan saya salah seorang hamba itu. Kerdil dan hina dengan dosa yang muncah. Mudah-mudahan Allah tidak menjadikan balasan terhadap segala luka dan parut ke dalam perkahwinan ini. Semoga rahmat tiba menjengah dan hujungnya menyentuh kami berdua.
Hati berada di antara dua jari Ar Rahman. Hati sesiapa pun. Hati saya dan hati dia. Juga hati-hati orang-orang di sekeliling. Biarlah saya menyambut doa baginda di akhir sabda itu 'Wahai tuhan yang menggerakkan hati, gerakkanlah hati-hati kami ke dalam ketaatanmu'. Bertapa beruntung, kalau diperkenan, walau pun sekadar insan biasa di sisiNya.
'Umur umatku di antara enam puluh hingga tujuh puluh. Sedikit sahaja dari kalangan mereka yang melepasinya'. Saya sudah berumur tiga puluh tahun. Bekalan sekecil tapak tangan belum tentu dapat digenggam. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa. Saya hanyalah lelaki biasa yang mengimpikan angan-angan menjadi kenyataan dalam sebuah perkahwinan biasa.
Apabila Abu Darda' berada di saat kematian, Ummu Darda' berkata 'engkau meminangku di dunia dari kedua ibu bapaku, maka mereka menikahkan engkau. Aku pula mahu meminangmu di akhirat'. Abu Darda' membalas 'Jika begitu, janganlah engkau berkahwin selainku'. Saya tidak meminta sejauh itu. Saya hanyalah seorang lelaki biasa.
Segalanya akan bermula tidak berapa lama. InsyaAllah. Sekali lagi, tuhan tempat hamba mengadu. Malah, selama-lamanya tempat hamba mengadu dan saya salah seorang hamba itu. Biarlah tercipta untuk firman suci yang berbunyi ‘Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampaui batas ke atas dirinya sendiri, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah’.
Saya ulangi, ini adalah perkahwinan biasa, teramat biasa. Cuma satu, impian dan harapan saya luar biasa sekali.
3 comments:
sabar ujian dipertunangan mmg hebat,
jika tiada ujian masakan menempuh gelora rumah tangga dengan tenang.
bravo mad. bernikah adalah ibadah. tiada ibadah yang tidak perlu pada mujahadah. Fastainu bissobri wassolah.
doakan ana.
wanita perlukan bimbingan, rahmat disebalik sebuah perkahwinan.
Semoga Allah merahmati kita semua.
salam mad,
Ana tumpang bergembira dengan pencapaian marhalah terbaru anta, bila dah nak dapat anak bagitau tau?
Ana nak ingatkan anta, dulu masa kita mandi kat Lata Bayu, Baling, anta ada cakap, kalau ana dapat anak perempuan,anta nak sebuah kitab dari ana. Kitab al-LaMazhabiyah kat sudan tak ada la. Tapi kalau anta nak kitab al Buti yang lain ana boleh belikan. Ana suggest kitab Haza Walidi. Ana habis baca dah, best sangat buku tu.
Apa2 pun sms ana di nombor +249929832788
Nizam
Sudan
Post a Comment