Saturday, 17 January 2009

Catatan Hari Kemenangan

Awal-awal pagi saya bersiap sedia untuk pergi meninjau-ninjau pusat pengundian. Akhirnya saya memilih untuk berada di pusat pembuangan undi Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat berdekatan Simpang Tok Ku. Pilihan yang tepat. Ramai saudara mara dan orang-orang kampung saya yang bertugas di situ. Rupa-rupanya Dun Tepoh yang dikira sebagai Dun Bantu berada di sini. Sempat lagi saya mengeratkan hubungan silaturrahim. Timbul juga rasa bangga. ‘Aku tidak terasing lagi’. Haha. Ada juga makcik-makcik yang masih mengenali saya.

Peti Undi ini salah satu tempat yang panas. Banyak provokasi. Saling berbalas provokasi sebenarnya. Daripada kedua-dua belah pihak. Tetapi yang paling memalukan daripada Puteri Umno. Dengan memakai pakaian ketat dan baju berwarna feminin; warna pink, gelagat dan aksi mereka sungguh memualkan. Penyokong Umno melaungkan slogan dengan menggunakan isu babi. Penyokong Pas bertindak balas. Suasana bertukar menjadi tegang.

Bukan sekali dua provokasi hampir-hampir mencetuskan pergaduhan. Nasib baik ada petugas Unit Amal dan anggota polis yang mengawal keadaan. Ada juga seorang dua penyokong Umno yang masih rasional. Penyokong Umno sering memainkan slogan yang sensitif. Bila penyokong Pas berindak balas mereka sendiri yang tidak tahan.

Macam-macam slogan yang diteriakkan oleh penyokong Pas. Paling menarik perhatian saya, kontijen Pas daripada Kedah menyanyi dengan lirik Mongolia dan Altantuya dengan irama lagu bolasepak. Sangat kelakar. Antara slogan Umno yang paling hangat pula, tentunya di kalangan mereka -PKR Punggung Kena Robek.

Sekitar pukul 3.30 petang sms disebarkan kepada petugas keselamatan parti supaya berjaga-jaga. Ada maklumat yang menyatakan pengundi hantu menggunakan bas Polis di Peti Undi Paya Bunga. Ada berlaku perkara yang mencurigakan. Pasukan FRU semakin ramai. Pihak Polis pula membuat kawasan Polis atau larangan parking yang luas daripada biasa di pintu masuk tempat membuang undi. Tiada siapa yang dibenarkan masuk dengan kenderaan di kawasan itu kecuali kereta-kereta yang membawa pengundi-pengundi yang uzur. Yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pekerja Pas – yang sememangnya berwaspada dan mencurigai kehadiran pengundi hantu- beberapa buah kereta dibiarkan masuk begitu saja tanpa sebarang halangan.

Malamnya kami bersiap sedia untuk pergi ke Stadium Tertutup Negeri yang menjadi lokasi keputusan rasmi diumumkan. Sebahagian besar jalan di situ ditutup kepada kenderaan untuk memberi laluan kepada orang ramai berkumpul. Orang terlalu ramai. Semuanya penyokong Pas. Mata saya melilau mencari penyokong Umno. Pada mulanya saya menyangka penyokong Umno berada di sebelah yang satu lagi. Jalan utama di hadapan stadium terbahagi dua. Di tengah-tengahnya yang juga pintu masuk utama stadium dikepung oleh Polis dan FRU. Nampaknya di sebelah sana turut penuh dengan penyokong Pas.

Keadaan terlalu sesak. Skrin putih yang menayangkan keputusan tidak berapa jelas. Walaupun Pas sudah mendahului majoriti dua ribu lebih, orang ramai terus menunggu keputusan rasmi. Gelagat penyokong Pas menjadi agresif. Melaung-laung ‘Lailahaillah’ dengan nada yang tegas dan pelbagai lagi. Selepas keputusan diumumkan mereka masih tidak mahu berganjak. Mereka mahu menunggu calon dan pimpinan lain. Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi keluar bersama calon dan pimpinan yang lain. Kesemuanya berteriak dengan kuat. Pelbagai slogan. Majlis diakhiri dengan doa yang penuh kesyukuran. Saudara Azhan, juara Akademi Nasyid itu yang membaca doa penutup semalam. Sangat panjang dan diaminkan dengan kuat dan bersemangat oleh para hadirin. Cuma saya sedikit terkilan. Doa untuk Gaza dan Palestin tidak disebut. Mulanya saya hendak berteriak mengingatkan supaya jangan lupa doa untuk Palestin. Tetapi takut pula mengganggu mood orang yang sedang berdoa. Tiada siapa yang salah. Saya yang bersalah kerana teragak-agak mengingatkan orang yang sedang lupa.

Selepas itu para penyokong bersiap sedia untuk berarak. Semua bendera Pas dicabut untuk digunakan semasa berarak. Saya dan seorang kawan terpaksa meminta dari sekumpulan anak muda yang kebetulan mempunyai banyak bendera Pas. Saya berani menyatakan semua atau sekurang-kurangnya hampir semua jalan-jalanraya yang menghala masuk dan keluar daripada kawasan Bandar Kuala Terengganu penuh sesak dengan kenderaan terutama kereta dan motor yang mengibarkan bendera Pas. Di kawasan yang ada perumahan, orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak keluar ke jalan-jalan mengangkat bendera, melambai tangan dan bertakbir.

Saya bersyukur dan orang lain juga bersyukur. Berjuta-juta kesyukuran. Allah Subhanahu Wataala telah menganugerahkan kemenangan. ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billahi A’liyyil A’zim’. Tidak ada kuasa dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi dan Agung. Biar pun hanya secebis kemenangan pada sesetengah orang atau bukan kemenangan yang sebenar bagi sesetengah orang yang lain. Saya tahu dan memahami, menyambut kemenangan malam tadi bukanlah sangat-sangat menepati sirah meraikan pembukaan dalam perjuangan Baginda Muhammad SAW. Perjalanan masih jauh dan berliku-liku. Kitalah yang akan mengharunginya.

Friday, 9 January 2009

Demonstrasi Mengecam Israel

Saya selalu mengingati Gaza. Hari Jumaat semalam, sekali lagi saya mengingati Gaza. Sudah dua tiga hari saya mendapat sms yang memberitahu demonstrasi mengecam serangan ganas Israel terhadap Gaza bermula dari masjid Tabung Haji menuju ke kedutaan Amerika akan diadakan selepas solat Jumaat. Semangat saya membuak-buak. Agak lama juga tidak menyertai perhimpunan beramai-ramai seperti ini.

Belum lagi jam 12.00 tengahari saya sudah bertolak. Menaiki bas ke stesen LRT Putra. Dari situ turun di stesen Ampang Park. Terlalu ramai orang di dalam bas. Rasa macam sardin cap itik. Di dalam bas kelihatan seorang muslimat yang memakai muffler yang menjadi simbol Palestin. Saya dan seorang lagi kawan tersenyum simpul. Semangat sungguh.

Selepas solat Jumaat, imam mengarahkan supaya solat hajat untuk Gaza dan Palestin. Sejurus sahaja selesai, para jemaah berpusu-pusu keluar untuk berdemonstrasi. Selepas laungan tabir dan slogan-slogan yang lain, pengerusi memberikan ucapan dan memberi laluan kepada ucapan Doktor Hatta Ramli. Sesudah itu kami bergerak menuju ke kedutaan Amerika Syarikat. Perarakan berselang seli dengan pelbagai seruan. Takbir, doa wihdah, khaibar khaibar ya yahud jaishu Muhammad saufa yaud, hidup Islam, Palestin dan Gaza, hancur Yahudi, Amerika, laknat Israel dan lain-lain. Di depan bangunan kedutaan kami melaungkan slogan dan mendengar ucapan daripada Muhammad Sabu, Husam Musa dan beberapa yang lain. Cuaca bagi kebanyakkan orang agak panas. Cuma sesekali berubah menjadi redup. Saya berkata di dalam hati ‘untung pernah belajar di Sudan, musim panas di sana melebihi 45 darjah celcius’.

Pelbagai simbol kreatif yang ditunjukkan penunjuk perasaan. Ada yang membawa batang kayu yang digantung kasut-kasut. Ada seorang pakcik yang memakaikan anak perempuannya dengan pengikat kepala yang saya lupa apa tulisannya sambil anak itu memegang replika senapang. Macam-macam lagi yang ada. Saya sekadar melilit muffler Palestin dan mengangkat poster boikot barangan Yahudi yang diedarkan kepada orang ramai yang hadir.

Satu perkara yang tidak diduga, saya bertemu kawan sekelas yang sudah sepuluh tahun terpisah. Tidak sangka sama sekali. Kami berlaga bahu. Dia hanya di sebelah saya. Rupa-rupanya dia seorang pegawai Tabung Haji.

Apa pun perasaan saya, saya berharap ini sebagai usaha kecil yang tidak seberapa membantu saudara kita yang sedang berjuang. Saya merasa sangat kerdil apabila imam Jumaat membacakan doa dalam qunut nazilah; ‘Allahumma inna naltamisu u’zrana ilaika fihim ya rabbal a’lamin’ (Ya Allah ya tuhan kami, kami merayu keampunan atas ketidakmampuan kami terhadap mereka kepada engkau tuhan sekalian alam). Gaza, Palestin, kami masih ingat lagi!.

Sunday, 28 December 2008

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Ramai orang bercakap tentang Maal Hijrah dalam entri mereka. Namun saya lebih teruja dan terapi-api menunggu pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Bukan sebab saya orang Terengganu atau orang Kuala Terengganu. Tetapi kerana tidak pernah mengecap suasana pilihanraya sejak kenal erti politik. Saya sempat pilihanraya umum 1995. Ketika itu baru pulang dari Pakistan Disember 1994. Sebaliknya zaman itu terlalu mentah untuk memahami dan melalui peristiwa besar seperti itu. Selepas itu merantau pula dari tahun 1998 hingga 2008. Hanya pulang bercuti sebanyak tiga kali pada 2000, 2003 dan 2005. Itu pun sekadar beberapa bulan sahaja. Setiap kali pulang bukannya ada pilihanraya yang sedang bermusim.

Adik lelaki saya, pelajar matrik jurusan perubatan di UIA Petaling Jaya hadir di kempen Jomsertaipas di Shah Alam membawa balik baju kempen yang berwarna hijau muda. Menarik sekali. Katanya mahu memakai baju tersebut pada hari penamaan calon Pas di Stadium Tertutup Negeri 1 Januari ini. Cemburunya. Malam ini saya akan pergi semula ke UIA. Hari selasa esok kelas sudah bermula.

Sedikit demi sedikit saya memerhatikan bagaimana orang bekerja untuk meraih sokongan dalam pilihanraya. Dan rupa-rupanya masih banyak jalan-jalan dan lorong-lorong yang belum saya jejaki di Kuala Terengganu. Biasalah, terlalu lama berkelana (jawapan yang sering saya berikan apabila kawan-kawan keluarga dan saudara mara bertanya adakah saya mengenali mereka atau tidak).

Kuala Terengganu terus dibasahi hujan. Jarang-jarang sekali berhenti. Hujan berterusan biar pun tidak selebat pusingan pertama yang mengakibatkan sebahagian kampung saya tenggelam. Sejak saya pulang bercuti selama lima hari tidak pernah ada sehari suntuk langit cerah (chrismast, hari minggu dan Awal Muharram, terlalu banyak cuti, rungutan saya sama seperti bloggers yang lain). Saya mengambil kesempatan makan keropok lekor sepuas-puasnya. Keropok lekor di UIA mahal dan tidak sedap. Saya ulangi, sangat-sangat tidak sedap. Saya peminat setia dan mempunyai citarasa tinggi terhadap keropok lekor. Semenjak kecil. Ya, sejak kanak-kanak lagi.

Saya merancang mahu mecuri masa untuk pulang lagi bila bahang pilihanraya panas menyala. Saya mahu menjiwai, mengamati dan belajar sesuatu yang baru. Kita tunggu dan lihat. Selamat datang pilihanraraya.

Saturday, 27 December 2008

Gaza Dibedil Lagi

Saya dan Gaza seperti ada pertalian. Biar pun amat sedih mengenangkannya. Abdul Majid Sya’bi yang mengajar subjek Muqaranatul Adyan (Perbandingan Agama) dan Mustalah Hadith ketika di Yaman pernah berkata ‘kadang-kadang saya terfikir tidak mahu menuruti perkembangan di Palestin kerana merasa sangat sedih dengan nasib umat di sana dan kecewa dengan tindakan pemimpin negara-negara Islam yang lain ’. Lebih kurang beginilah bunyinya yang masih saya ingat.

Hari ini Gaza dibedil lagi. Langit Gaza sudah biasa dengan riuh rendah pesawat tempur penjajah Israel. Saya pernah berbual dengan seorang kenalan dari Palestin semasa di Sudan (sudah lupa namanya, dia sangat rapat dengan Fuad, saya memanggilnya encik Fuad kerana dia memanggil saya sheikh Ahmad). Katanya, persenjataan Israel sangat canggih. Logiknya tidak mampu ditandingi pejuang Palestin. ‘Kami hanya mendengar hiruk pikuk di udara dan tiba-tiba sahaja roket datang membunuh’. Saya bertanya ‘bagaimana Israel tahu individu tersebut adalah sasaran mereka?’. Dia menyambung ‘ramai talibarut yang berkeliaran’. Dia berkata dengan nada yang mengharap ‘hanya Allah yang mampu mengubahnya’. Selepas itu saya mengetahui secara terperinci dengan membaca majalah Al Bayan bagaimana tentera Yahudi itu mengesan dan membunuh para pejuang yang berjuang.

Jika di negara-negara Arab, musim-musim umat Islam Palestin ditimpa musibah yang maha dahsyat, setiap kali sembahyang akan dibacakan qunut nazilah. Suasana sebegini tiada di Malaysia. Mudah cerita, rantau sebelah sini kurang prihatin dengan negara tempat suci yang ketiga itu walau pun bukan semua yang begitu. Suatu hari Abdul Qayyum, kawan karib nizam si ahli sufi, bercerita kepada saya bertapa seorang makcik ada berkata ‘jahat juga Israel tu ye’. Saya juga sudah kurang membaca berita-berita dari Timur Tengah sejak pulang ke sini. Kalau dulu jarang sekali saya berenggang dengan radio lama yang setia menemani. Sekarang saya hanya melawat bbcarabic. Kadang-kadang islamonline dan aljazeera. Susah mahu mengikut adat pepatah ‘jauh di mata dekat di hati’.

Seperti kata puisi Wira Palestina karya Umar yang sangat berbakat, terlalu banyak caranya andai mahu menolong Palestin.

Allahu Akbar! lantunan bergema.
Buku-buku lima dijulang ke udara.
Bukan simbol kebencian, bukan
lambang dendam, bukan juga
mercu keganasan. Penafian
sebarang kedayusan, kebaculan
bagai dubuk kepada nusa.

Menjadi wira Al Quds, beerti:
Memperjuangkan agama.
Berakhlak pendukung takwa.
Kenal apa yang dijulang.
Kenal tangan yang bersalam.
Waspada kupang yang dibelanja.
Pendoa kecekalan saudara.

Wira Palestina, bukan semata:
Menjejak tanahnya, melancar peluru dan batu.
Harus mati di keliling Al-Aqsa.
Memacak bendera empat warna.
Tetapi,
Wira Palestina juga melahirkan anak sejuta.
Menulis memuji jihad mereka.
Mengemis ubatan mereka.
Menutup aurat mereka.
Merintih di malam sepi dengan airmata.

Wira Palestina bertebaran di mana-mana.
Berkongsi cita, cinta dan sengketa.
Bersama mencicip duka.
Bersama mendoa Syurga.
Jadilah Wira Palestina

Maaf Umar!. Mengambil puisi tanpa izin. Saya tahu, milik anda milik saya juga. Milik saya milik saya lah!.

Jangan Sekadar Tekad Berdekad-dekad

Saya menulis entri ini selepas menjenguk blog kawan-kawan dan blog orang-orang yang bukan kawan-kawan. Lantas melonjak satu semangat mahu menulis. Kenapa saya sangat malas menulis?. Masa mula-mula mahu berblog, tujuannya menulis sesuatu yang mampu menyumbang. Sanggup berkarya dan penuh kritis. Azam tinggal azam. Jangan sekadar tekad yang berdekad-dekad. Mana kata-kata yang menyusup kalbu perjuangan; “ramai orang berilmu tidak menulis”. Saya masih tiada jawapan walaupun tahun baru makin menjelang. Terus terang saya katakan, berkarya belum lagi menjadi keutamaan.

Saya tidak sangat mempedulikan tahun baru. Hijrah atau Masihi. Boleh jadi dengan berkata begini, ramai beranggapan saya bukan seorang yang merancang atau sekurang-kurangnya tiada perancangan. Ada benar sangkaan itu walau bukan sepenuhnya. Mungkin juga seperti kata Umar, si penyair dari Sudan (kebelakangan ini saya mengakui kehebatannya berpuisi), saya terlampau mengikut rasa hati. Sebenarnya saya ada sasaran sendiri. Ada target dan ada hajat yang hendak dicapai. Tetapi jarang sekali saya mengikatnya dengan kedatangan tahun baru. Saya akan bersungguh-sungguh bila saya sudah bersedia.

Saya mesti menyelesaikan satu masalah besar jika mahu melangkah jauh. Melangkah dengan langkah-langkah yang besar. Langkah gagah dan kemas. Mesti buang rasa masih mahu bermain-main. Mesti lebih serius. Kerana sikap inilah saya selalu berwajah-wajah. Dengan umur dan kelulusan (yang sebenarnya hanya pada sijil), sepatutnya saya sudah sangat bersedia. Bersedia untuk segala-galanya.

Hidup saya sudah baru. Banyak perkara yang mahu dicapai. Selepas bertahun-tahun Bahasa Arab menjadi pengantar; seluruhnya dengan bahasa itu, siaran BBC, menonton televisyen, hinggakan majalah Newsweek dan Foreign Policy turut ditatap dalam versi Bahasa Arab -sudah tiba masanya saya menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Dan ingat, sama sekali tidak terkilan menghabiskan masa sekian lama mengikuti kelas bahasa Perancis sekali pun ramai yang tertanya-tanya mengapa saya begitu berminat (Suhaimi pernah berkata bahasa Perancis punca kanser mulut kerana sebutannya yang sangat susah dan berbelit-belit). Proposal PhD juga mesti disiapkan awal. Sudah berpengalaman semasa di peringkat Master dahulu. Sangat menyakitkan. Inilah serba sedikit kerja-kerja tahun baru akan datang.

Pada Allah juga saya berserah. Apa pun alasan, saya menyesal tidak menjaga Al Quran sebaik mungkin. Terbayang-bayang perbualan dengan ayah dan emak dalam kereta semasa menghantar saya ke stesen bas untuk ke UIA, “Kalau dapat PhD tetapi tidak ingat Al Quran, tidak ada gunanya dan ayah dengan emak tidak akan berbangga”. Saya mahu menjadi orang yang bersyukur dengan anugerah yang diberi. Saya akan berusaha bersama-sama doa dan berkat tuhan.

Friday, 28 November 2008

Dari Kampung Jawa Ke UIA.

Saya tidak tahu. Mengapa situasi ini berlaku kepada saya. Suatu pengalaman yang memalukan. Saya tidak biasa dengan kota metropolitan yang bertumpuk-tumpuk seperti Kuala Lumpur. Antara cahaya dan kegelapan. Lumpur terpalit dan rona putih yang masih nampak. Saya hanya biasa dengan kota-kota suram dan lusuh. Kotor dan berhabuk. Sedikit biasa dengan bandar Lahore, hanya sedikit, biarpun tiga tahun setengah menjadi penghuninya; bumi kelahiran puteri Anarkali dan amat biasa dengan dua kota yang sangat membekas dalam jiwa yang paling dalam; Sana’a dan Khartoum.

Tidak berapa lama menunggu bas di hadapan masjid yang berada tidak jauh dari bangunan lama sekolah Hishamuddin, tempat program yang saya menjadi salah seorang fasilitator, saya menaiki bas mini dengan teragak-agak. Turun di bangunan JAIS. Sepatutnya turun di lampu isyarat sekitar 300 meter lagi di hadapan. Tetapi kerana sifat yang sentiasa teragak-agak. Saya menekan loceng untuk turun. Konon-konon mengambil jalan selamat.

Apabila mahu membeli tiket di stesen komuter Klang. Saya bertanya bagaimana caranya. Samada membeli di kaunter ataupun membeli dari mesin. Kaunter tiket penuh. Orang ramai sedang beratur panjang. saya cuba membeli melalui mesin tiket. Melayang seketika. Di Sana’a atau di Khartoum mana ada kemudahan sebegini. Patutlah orang Arab selalu puji Malaysia dan Doktor Mahathir. Ah, mereka mana tahu. ‘Penduduk Mekah lebih tahu tentang lorong-lorong di tempatnya’. Jangan kerana mesin tiket komuter!.

Saya memasukkan duit. Sebenarnya sebelum itu saya sudah pun memerhatikan dengan penuh minat dan teliti orang yang berada di hadapan mengambil tiket. Saya memasukkan duit satu ringgit. Duit keluar semula. Saya fikir kedudukan not yang terbalik. Mungkin seperti kad ATM. Saya cuba dan akhirnya duit itu masuk. Saya hulurkan lagi. Satu ringgit yang kedua masuk dengan jayanya. Saya masukkan yang ketiga. Duit tetap juga keluar walaupun kedudukan not yang betul seperti yang pertama dan kedua tadi. Terus mencuba namun tidak menjadi. Tiba-tiba kedua-dua not satu ringgit yang dimasukkan terlebih dahulu keluar semula. Saya bingung. Berpaling kepada orang di belakang. Dia menyatakan mesin pengeluar tiket sudah rosak. Saya bertanya lagi jika mesin ini sudah biasa rosak. Dia mengiyakan. Lega. Saya berdebar-debar. Takut-takut saya yang merosakkannya dengan memasukkan not duit dengan terbalik.

Peristiwa kedua, semasa mahu pulang ke Greenwood daripada UIA. Saya pergi menunggu di perhentian bas. Sekali lagi teragak-agak. Dengan gaya bersahaja saya bertanya kepada dua orang pelajar perempuan. ‘Semua bas lalu ikut sini ke?’. ‘Aha’. Kedua-dua orang itu memberikan jawapan yang sama. Agak lama juga menunggu. Bas itu pun datang. Saya teragak-agak untuk naik. Salah seorang pelajar perempuan tadi menoleh ke arah saya. Ya, tadi saya juga yang bertanya. Kenapa tidak mahu naik pula. Saya pun cepat-cepat menaiki bas melalui pintu tengah. Padahal pintu itu dibuka untuk penumpang turun. Entah mengapa saya melalui tangga itu. Bukan tidak tahu. Cuma tidak biasa. Sebab semasa daripada Terminal Putra ke UIA saya sudah menaiki bas RapidKL. Saya tahu orang membayar tiket apabila menaiki bas. Memalukan!.

Di dalam bas saya bertanyakan kepada seorang lagi pelajar perempuan (susah, di mana-mana universiti bilangan perempuan mesti melebihi lelaki). ‘Kalau nak ke Greenwood naik bas apa?’. ‘Bas 201, RapidKL. Tak pun 91 Metro Bus’. ‘Naik kat Stesen la?’. ‘Tak, naik kat bus stop’. ‘Kat stesen tak ada ke?’. ‘Tak ada’. ‘Habis tu saya perlu naik kat mana?’. ‘Kat bus stop’. ‘Sekarang ni saya perlu turun kat mana?’. ‘Kat sini pun boleh’ (bas sedang berhenti di salah sebuah perhentian). Saya turun dengan selamba. Selamba apa saya sendiri tidak tahu. Badak atau unta. Saya dapat merasakan bas tersebut berhenti agak lama. Mungkin terpinga-pinga kerana saya belum menjelaskan tambang. Ada hikmahnya saya tersilap tangga. Tidak perlu membayar tambang kerana sememangnya dari awal lagi saya sudah tersalah langkah. Saya tersenyum dan kemudian ketawa keseorangan. Inilah pengalaman pertama. Ternyata saya orang kampung. Orang kampung sejati. Aku memang budak kampung!.

Sunday, 23 November 2008

Berubah Dan Berubah

Saya tersenyum sendirian. Waktu sekolah menengah dahulu, sudah tersemat mahu belajar tinggi-tinggi. Setinggi mana yang mampu. Kalau boleh setinggi puncak Bukit Jong yang terletak di kampung nenek sebelah ayah. Dan terpacul ketika itu, belajar sampai PhD. Walau tidak disuarakan, itu yang digenggam erat, kemas.

Saya tersenyum sendirian lagi. Senyum kemewek. Bahasa orang Terengganu. Bila ayah mahu menelefon UIA hendak bertanya, saya tidak terlalu mengharap. Sebab borang permohonan terlalu lewat dihantar. Tidak dapat Dicember intake, mungkin ada rezeki bulan Julai tahun depan. Kebiasaannya permohonan PhD tak kemana. Terima juga akhirnya. Begitulah kata orang. Tapi seboleh-bolehnya, saya mahu terus menyambung pelajaran. Tidak ada terlalu banyak masa. Saya sedang mengalami proses transisi sebenarnya. Mesti memilih dengan pasti apa yang saya mahu dalam hidup ini. Seterusnya berusaha ke arah itu dengan tekad. Kadang-kadang pernah juga terfikir. Sukar melakukan yang terbaik jika belum berkahwin (saya tersenyum lagi ketika menulis ayat ini). Ya, angan-angan orang muda, khayalan yang selalu hinggap, saya memang di persimpangan!.

Banyak sebab saya menulis entri ini. Menyambung semula blog yang hampir tidak bernyawa. Saya sudah berada di dunia baru. Dunia yang menjadi medan perjuangan. Selepas membasah dengan musim tengkujuh yang tiada henti, menggamit hati dengan laut biru dan pepasir pantai (tentunya pantai Teluk Ketapang dan pantai Batu Buruk), saya mesti terus melangkah. Persoalannya, layakkah saya?. Saya mesti berubah. ‘Berubah dan berubah’. Kata-kata yang saya catat di belakang kitab Syarh Ibnu A’qil ketika mula-mula sampai di Sudan selepas hati dan perasaan melarut bersama kenangan hidup di Yaman. Tiada jalan lain. Antara saya dan Tuhan. Hablum minallah. ‘Sesiapa yang tidak meminta dengan Allah nescaya Allah akan memurkainya’. Tidak mudah dan bukan sekadar itu, saya sendiri mesti membuahkan suasana itu. Saya memang lalai!.

Sekurang-kurangnya dengan menulis entri ini, saya meraikan dua perkara. Pertama hari lahir saya pada 9 Disember ini dan yang kedua tanda syukur dapat terus melanjutkan pelajaran secepat mungkin. Saya mahu berubah, akan berubah dan terus berubah. Paling awal yang perlu diubah, mesti lebih banyak tersenyum. Meskipun senyum sendiri. Doakan saya. Tidak sabar hendak menjejak kaki ke menara gading. Eh, universiti luar negara tak bergading ke?.