Saturday 27 December 2008

Jangan Sekadar Tekad Berdekad-dekad

Saya menulis entri ini selepas menjenguk blog kawan-kawan dan blog orang-orang yang bukan kawan-kawan. Lantas melonjak satu semangat mahu menulis. Kenapa saya sangat malas menulis?. Masa mula-mula mahu berblog, tujuannya menulis sesuatu yang mampu menyumbang. Sanggup berkarya dan penuh kritis. Azam tinggal azam. Jangan sekadar tekad yang berdekad-dekad. Mana kata-kata yang menyusup kalbu perjuangan; “ramai orang berilmu tidak menulis”. Saya masih tiada jawapan walaupun tahun baru makin menjelang. Terus terang saya katakan, berkarya belum lagi menjadi keutamaan.

Saya tidak sangat mempedulikan tahun baru. Hijrah atau Masihi. Boleh jadi dengan berkata begini, ramai beranggapan saya bukan seorang yang merancang atau sekurang-kurangnya tiada perancangan. Ada benar sangkaan itu walau bukan sepenuhnya. Mungkin juga seperti kata Umar, si penyair dari Sudan (kebelakangan ini saya mengakui kehebatannya berpuisi), saya terlampau mengikut rasa hati. Sebenarnya saya ada sasaran sendiri. Ada target dan ada hajat yang hendak dicapai. Tetapi jarang sekali saya mengikatnya dengan kedatangan tahun baru. Saya akan bersungguh-sungguh bila saya sudah bersedia.

Saya mesti menyelesaikan satu masalah besar jika mahu melangkah jauh. Melangkah dengan langkah-langkah yang besar. Langkah gagah dan kemas. Mesti buang rasa masih mahu bermain-main. Mesti lebih serius. Kerana sikap inilah saya selalu berwajah-wajah. Dengan umur dan kelulusan (yang sebenarnya hanya pada sijil), sepatutnya saya sudah sangat bersedia. Bersedia untuk segala-galanya.

Hidup saya sudah baru. Banyak perkara yang mahu dicapai. Selepas bertahun-tahun Bahasa Arab menjadi pengantar; seluruhnya dengan bahasa itu, siaran BBC, menonton televisyen, hinggakan majalah Newsweek dan Foreign Policy turut ditatap dalam versi Bahasa Arab -sudah tiba masanya saya menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Dan ingat, sama sekali tidak terkilan menghabiskan masa sekian lama mengikuti kelas bahasa Perancis sekali pun ramai yang tertanya-tanya mengapa saya begitu berminat (Suhaimi pernah berkata bahasa Perancis punca kanser mulut kerana sebutannya yang sangat susah dan berbelit-belit). Proposal PhD juga mesti disiapkan awal. Sudah berpengalaman semasa di peringkat Master dahulu. Sangat menyakitkan. Inilah serba sedikit kerja-kerja tahun baru akan datang.

Pada Allah juga saya berserah. Apa pun alasan, saya menyesal tidak menjaga Al Quran sebaik mungkin. Terbayang-bayang perbualan dengan ayah dan emak dalam kereta semasa menghantar saya ke stesen bas untuk ke UIA, “Kalau dapat PhD tetapi tidak ingat Al Quran, tidak ada gunanya dan ayah dengan emak tidak akan berbangga”. Saya mahu menjadi orang yang bersyukur dengan anugerah yang diberi. Saya akan berusaha bersama-sama doa dan berkat tuhan.

3 comments:

Dr Kamarul said...

Azam tetap azam... namun apakah nasib azam yang diazamkan...

Di uia boleh jer jumpa budak budak "kanser mulut"... sambil sambil tue boleh jer kalau nak cakap cakap..

Anonymous said...

nasib azam telah disudankan.. hanya doa dari rakan2 yg prihatin akan nasib azam yg kurang berazam.. masih adakah azam yg berazam?.. hanya azam yg mampu berazam.. yeah.. idup azam..

~PaMpeRed bY worDs~ said...

Setiap kali bc post2 awk...diri ni terasa kerdil...
Tak payah lar bc blog2 sye tue..
Tidak bernas dan berisi..
Apa yg awk luahkan berbeza tema dgn apa yg saya tulis...
jauh berbeza...
Tak payah lar baca...tak ada isi..