Friday, 10 April 2009

Mi Udang Kuala Sepetang

Entah kenapa, saya sangat suka dengan nama Kuala Sepetang. Semacam ada unsur sastera. Amat estetika dan terlalu puitis. Boleh buat novel atau cerpen dengan nama ini. Saya pun berkhayal. Matahari terbenam di sebuah perkampungan nelayan. Tempat berlangsung kisah cinta pemuda melayu dan anak gadis cina. Segala-galanya berbeza.

Berlainan pula dengan mi udang. Apabila diberitahu ramai orang tentangnya, sedikit pun tidak mengecurkan air liur. Malam sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, Puan Ainul yang mengajar bahasa Inggeris menghantar sms dan bergurau meminta saya membawa pulang mi udang -hanya selepas itu saya terkesan dengan nama ini.

Keesokan hari atas permintaan saya, kami bergegas mencari mi udang. Mengambil jalan menuju ke Trong. Mahu pergi ke Zetty Mi Udang yang sangat masyhur. Juga popular dengan gelaran mi udang bawah pokok manggis. Sebabnya jelas. Memang banyak pokok-pokok manggis yang mengelilingi restoran. Namun tiada rezeki di sini. Restoran belum beroperasi. Semasa berpatah balik, saya perhatikan kebanyakan restoran mi udang masih ditutup.

Maka bermulalah langkah ke Kuala Sepetang. Walau pun agak jauh. Di situlah sebenarnya tempat asal mi udang jadi terkenal.

Dalam perjalanan, saya mendapat tahu pekan Kuala Sepetang terletak dekat dengan laut. Kebanyakan penduduk adalah orang cina. Seorang kawan yang sempat berada di sini pada hari mengundi menyatakan orang-orang cina duduk di kopitiam dengan sebelah tangan meneguk arak dan sebelah tangan lagi memegang bendera PAS. Akal fikiran saya terkatung-katung. Ada sisi baik dan sisi buruk di situ.

Setelah sampai, kami melilau di tengah-tengah pekan. Kawan saya terpaksa menelefon untuk mengenal pasti jalan mana mengarah ke warung mi udang Stall Salleh. Katanya, warung ini jarang benar menutup pintu buat para pengunjung. Nasib menyebelahi saya. Rezeki mi udang di Kuala Sepetang rupanya.

Kuala Sepetang. Suatu nama indah. Saya mahu menyambung khayalan. Kisah cinta bertentangan. Mereka berpisah. Biar pun cinta dari hati yang paling dalam. Saya lebih suka begitu sejak akhir-akhir ini. Kerana kehidupan bukan sekadar cita. Perkahwinan bukan hanya cinta.

Kisah Pilihanraya

Demam pilihanraya sudah berakhir. Baru sahaja selesai tiga hari sudah. Banyak perkara yang saya saksikan. Dengan mata kepala sendiri. Menjelajah sebahagian besar kawasan Parlimen Bukit Gantang. Menjadi saksi kepada banyak peristiwa. Lebih banyak daripada pilihanraya Kuala Terengganu.

Hari mengundi saya berada di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Pengkalan Aur. Berdekatan Markas Besar PAS di Air Kuning. Rupa-rupanya petugas PAS di sini dibantu oleh PAS Terengganu kawasan Kuala Nerus. Oleh sebab kampung saya terletak di Kuala Nerus, ramai sekali muka-muka yang biasa dikenali tampak hadir. Serasa-rasa seperti berada di kampung sendiri.

Sekolah Menengah Pengkalan Aur menjadi salah sebuah pusat pembuangan undi paling panas. Sebelum saya tiba, FRU melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan bibit pergaduhan yang mula menyala. Puncanya, seorang penyokong PAS ditolak. Menyebabkan penyokong-penyokong yang lain pergi meluru. Penyokong-penyokong Umno yang melihat keadaan itu, meluru juga untuk mempertahankan penyokong mereka. Berlaku insiden yang tidak diingini. Penyokong Umno membaling kerusi dan tiang bendera.

Tidak kurang juga yang menggelikan hati. Apabila orang India datang mengundi, peraih undi PAS melaungkan Makkal Sakhti. Yang menyebabkan gelak tawa orang ramai, beberapa pemuda menjerit-jerit laungan ‘makan sate’. Beberapa orang lagi menyela ‘makan sate Jabi’ (jika Selangor popular dengan Kajang, Terengganu pula popular dengan sate Jabi).

Sehari sebelum itu, saya menguntum senyum apabila melawat Markas Tindakan Dun (MTD) Sungai Tinggi yang berada di dalam Dun Trong. Penginapan kontijen PAS Selangor. Mata saya melirik pada papan putih yang terlakar peta Dun Trong. Hendak tahu kenapa?. Setiap nama diterjemah kepada bahasa Inggeris. Bukit Gantang Selatan menjadi South Kilogram Hills. Kampung Che Rahmat bertukar kepada Mr. Bless Village. Batu Hampar diubah dengan nama The Rock. Gila-gila juga kepala or ang-orang PAS di sini.

Sepanjang enam hari berada di Bukit Gantang, saya menyaksikan semangat yang membuak-buak. Jika Dr. Yusuf Qardawi kerap menyebut di dalam buku-bukunya hamasatus syabab waa’qlaniayyatus shuyukh (semangat para pemuda dan kebijaksanaan golongan tua), saya melihat semangat itu menjelma dalam diri kedua-duanya. Orang muda dan orang tua. Malah kanak-kanak sekali pun.

Pasangan tua suami isteri memasang bendera dan stiker yang begitu banyak pada kereta mereka tanpa segan silu. Kelihatan begitu semangat dan sentimental. Seorang kanak-kanak pula melaung-laung ‘hidup Islam’ dan ‘hidup PAS’ dalam pada menahan matahari dan hujan yang berselang seli. Usah cerita semangat orang muda, memancar di mana-mana sahaja.

Kisah-kisah sejarah. Saya mahu menjadi sejarah itu. Sejarah perjuangan yang tidak pernah padam.

Friday, 27 March 2009

Islam Yang Menembusi Ruang

Suatu hari Ahad yang santai, saya dan seorang rakan berbual-bual tentang filem Ketika Cinta Bertasbih yang sedang sibuk menjalani penggambaran di Mesir. Berbual dan terus berbual. Saya menyimpulkan kebaikannya kewujudan produk hiburan kormesil yang bertemakan Islam. Kebetulan pula sebelum itu saya baru sahaja selesai membaca artikel dari majalah Forward yang berjudul ‘Here’s to Muslim Lifestyle!’. Antara perkara yang menjadi pokok bicara ialah patung mainan kanak-kanak dan pakaian mandi versi Islam.

Serta merta terlintas dalam benak kepala saya ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Seingat saya Tuan Guru mengulas mengenai syiar Islam yang sepatutnya berada di mana-mana. Menteri Besar Kelantan mahu segala benda positif mestilah mempunyai tanda nama Islam untuk menonjolkan agama suci ini sebagai satu cara hidup yang sempurna.

Saya masih mahu meraikan dan melihat kebaikan dengan kehadiran Islam dalam ruang-ruang yang baru ini meski pun terdapat tentangan tertentu. Bahkan dari rakan-rakan terdekat. Saya dapat mengagak sudut-sudut negatif yang ditimbulkan. Barangkali kefahaman saya terhadap Islam; setelah melalui proses lebur antara teori dan praktikal, konsep dan amalan, banyak dipengaruhi oleh pemikiran Dr Yusuf Al Qardawi. Juga seperti biasa, tidak ada yang maksum melainkan Rasulullah SAW, turut ada beberapa pendapat ulama besar itu masih di peringkat tahaffuz dalam diri saya yang jahil ini. Berhakkah saya untuk merasa tahaffuz dan tidak ithmi’nan terhadap segala pendapat itu?.

Sudah sunnah manusia berselisih pandangan. Keras dan lembut itu relatif. Sebaiknya pertengahan yang berdasarkan hujjah dan dalil menjadi pilihan. Sehinggakan sebahagian orang menganggap manhaj Ikhwanul Muslimim itu sudah terlalu bermudah-mudah. Sedangkan sebahagian lagi menganggap itu pertengahan yang baik.

Semasa rehat mengambil sarapan, rakan sekelas saya yang berasal dari Yaman dan menetap di Arab Saudi bertanya tentang Ikhwanul Muslimin. Berhati-hati saya mengujar untuk mengelak perdebatan panjang dengan menyatakan mereka adalah baik walaupun terdapat sedikit sebanyak kekurangan. Dia tidak bersetuju dengan mengambil kira pengalamannya bersama Ikhwan selama tiga tahun. Saya memilih untuk berbincang lain kali sahaja kerana kelas mahu bermula.

Kebiasaannya kami bercerita di dalam bahasa Inggeris. Terbayang-bayang kata-kata saya. ‘Kita perlu masa yang panjang untuk berbincang soal ini dan dalam bahasa Arab’. Sebaliknya, sampai sekarang perkara itu terus lenyap dan tidak muncul-muncul lagi. Agaknya bilakah dia akan bertanya kembali kepada saya tentang Ikhwan?.

Saturday, 7 March 2009

Perhimpunan Seratus Ribu

Adakah saya seorang penakut?.

Polis-polis berpakaian preman menarik salah seorang daripada kami. Diheret dan dikilas tangannya ke belakang untuk digari. Saya dan orang-orang yang lain cuba mara untuk menariknya semula. ‘Engkau jangan masuk campur, siapa masuk campur tangkap!. Angkuh sungguh polis itu sambil menunding jari kepada seorang anak muda.

Waktu itu, adakah saya penakut?.

Penunjuk perasaan bergerak dari beberapa lokasi. Mereka menghala dari Central Market, Masjid Jamek dan Sogo. Berhimpun di Masjid Negara. Seterusnya berarak menuju ke Istana Negara. Saya mengikuti kumpulan yang bergerak dari Masjid Jamek. Di tengah perjalanan kami bergabung dengan kumpulan yang lebih besar. Ada pimpinan di barisan depan dalam kumpulan mereka. YB Mahfuz dan Salahuddin.

Mampukah dunia kembali kepada Islam dengan orang-orang yang penakut?. Agaknya tidak mengapa. Bukan semua orang Islam itu berani. Boleh saja menuruti dari belakang orang-orang yang berani.

Ketika hanya sekitar 200 meter dari Istana Negara, gas pemedih mata ditembak. FRU dan pasukan polis sudah bersiap sedia. SB-SB dapat dikenali dengan reben merah yang diikat. Kami terus mara dalam keadaan yang sukar. Cepat saja air mata mengalir kerana teramat pedih. Kulit muka kepanasan seperti mahu terbakar. Suasana kian genting. Tembakan gas pemedih mata semakin menghujan. Kami terpaksa berundur dengan lari bertempiaran.

Berfikir begitu?. Biar pun sering membaca ayat 95 surah Al Maidah kepada kawan-kawan ‘tidak sama orang-orang yang duduk dari kalangan orang mukmin, yang tidak merasa susah, dengan orang-orang yang berjihad dengan harta-harta dan jiwa-jiwa mereka’. Begitu?.

Nafas saya sudah sesak. Terbatuk-batuk dan terasa mahu muntah-muntah. Saya melarikan diri sambil memerhatikan ke mana peluru-peluru gas pemedih mata akan jatuh. Berlari dengan berhenti-henti di balik pokok-pokok besar untuk mengelak daripada terkena tembakan. Sampai di satu penjuru saya terduduk. Terbatuk-batuk dengan kuat. Seseorang menawarkan diri untuk mengesat muka saya dengan kain di tangannya. Seorang lagi memberikan garam dan air.

Buat malu dengan muslimat dan oran-orang tua. Sayang sangat pengajian di UIA. Macam tak boleh sambung tempat lain. Budak-budak undergraduate pun tak kisah. Belajar bukan sekadar tahu dan hafal fadhilat-fahilat perjuangan.

Keadaan beransur-ansur tenang. Saya mengambil peluang melapangkan dada. Kami bertanya sesama sendiri. Tentang keadaan di tempat lain dan bagaimana nasib pimpinan. Saya memerhatikan keadaan sekeliling. Seorang anak muda yang menggalas beg membuka buku lukisan dan melakar sesuatu. Saya menghampirinya dan bertanya. Dia menjawab ‘belajar architecture di UIA’. Tidak lama kemudian Unit Amal memberitahu ada arahan supaya berkumpul semula di Masjid Negara. Kami mula bersurai perlahan-pahan. Tiba-tiba gerombolan biadap SB datang menerpa mahu menangkap seorang penunjuk perasaan. Kelam kabut tercetus.

Adakah saya berselindung?. ‘Di tanya kepada Rasulullah, adakah orang mukmin yang penakut?. Baginda menjawab; ada’. Di sebalik tabir hadis nabi?. Satu lagi takwilan melepas diri dari cerdik pandai agama?. Ah, terlalu banyak persoalan yang bersimpang siur!.

Nota: Perhimpunan Seratus Ribu anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyerahkan memorandum kepada Sultan membantah Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

Wednesday, 25 February 2009

Bila Berada Di Tanahair Sendiri

Bila berada di tanahair sendiri, bumi sendiri, perasaan mahu menulis blog terkandas di beberapa perhentian. Benar kata seorang kawan ‘waktu berada di luar negara lah banyak kisah yang boleh dicoretkan’. Sebagai gantinya -selain membaca surat-surat khabar online- saya melompat-lompat blog. Kadang-kadang meninggalkan jejak. Dengan komen-komen kontra yang dibuat-buat. Hanya sekali-sekala sahaja mengulas dengan baik dan sopan.

Bila belajar di negara sendiri, tempat sendiri, perasaan mahu beramah mesra dengan sesiapa sahaja disentap oleh beberapa tangan. Benar kata seorang lagi kawan ‘ukhuwah belajar di luar negara tidak sama dengan belajar di universiti tempatan’. Sebagai gantinya -dalam terus menginjak kawan-kawan lama- saya berkenalan dengan ‘budak-budak jemaah’ di UIA dan satu dua lagi universiti yang lain.

Dua jalan hidup yang dilalui kebelakangan ini membuatkan saya mengambil perbandingan. Semasa melompat-lompat blog, saya sering terserempak blog-blog pelajar-pelajar bukan agama yang melaut dengan unsur-unsur dakwah dan tarbiah. Begitu juga perkenalan saya. Bila bersua muka dengan ‘budak-budak jemaah’, saya kerap bertanya, siapakah yang lebih ramai antara mereka?. Jawapannya, kebanyakan dari kalangan pelajar-pelajar engineering.

Saya tertanya-tanya. Saling menimbal balas. Melihat diri saya sendiri. Mengimbas keadaan kawan-kawan seangkatan. Saya terdiam.

Pelajar-pelajar bukan dari aliran agama, apabila berminat dengan agama, bermakna niat mereka terlalu ikhlas. Menimba ilmu dengan usrah-usrah dan pelbagai halaqah ilmu. Mereka baca buku-buku terjemahan karya tokoh-tokoh haraki ternama. Usul I’syrin karangan Hasan Al Banna dan beberapa syarahnya dibaca dengan teliti dan mendalam. Selepas itu berusaha untuk beramal dengan apa yang mereka tahu. Menjaga amal ibadat. Bergerak dan berdakwah.

Pelajar-pelajar agama lain pula caranya. Ada yang belajar bukan kerana agama. Niat yang bercabang-cabang. Sesetengahnya terlalu larut dengan hukum-hukum feqah. Suka bertalaqqi kitab-kitab besar sehingga kadang-kala tidak memahami mana satu yang menjadi keutamaan. Sangat cetek soal umat dan isu semasa dunia. Banyak membuat takwilan yang melepas diri.

Saya tidak berniat menafikan orang-orang agama yang berjuang. Bukan saya menyatakan tidak perlu orang yang mendalami hukum-hukum feqah. Perlu mengenepikan kitab-kitab besar yang menjadi rujukan muktabar. Bukan begitu sama sekali.

Anggap saja ini luahan hati saya. Hati orang yang salah. Hati yang tidak tenang. Di manakah saya berdiri di antara kedua-duanya?.

Nota : Nizam akan sangat-sangat bersetuju jika saya menyatakan saya perlu belajar tasawwuf untuk hidup yang lebih bermakna. Saya terbayang-bayang dia menepuk-nepuk belakang bahu saya sambil tersenyum.

Nota : Adakah ini permulaan kepada diri saya yang lebih serius dan kurang merapu?.

Tuesday, 17 February 2009

Siapa Bilang Bahasa Melayu Tidak Boleh Maju?.

Semalam Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) menghantar memorandum bantahan ke Parlimen. Hanya sekitar 30 orang sahaja. Saya juga tidak hadir kerana ada kelas sehingga jam 1.00 petang. Namun ia tetap gagah dengan ikon-ikon besar seperti A. Samad Said, Doktor Hasan Ahmad dan Puan Ainon.

Dalam Parlimen, Ahli Parlimen Kinabatangan menyebut GMP mempunyai anasir-anasir. Suatu kenyataan yang menimbulkan kemarahan. Ketika di luar Parlimen apabila ditanya oleh orang-orang kuat GMP apakah yang dimaksudkan dengan ‘anasir-nasir’ itu, dia menafikan dan membuat huraian yang memutar belit. Akhirnya timbullah sedikit ketegangan.

Gerakan ini semakin mengakar dan sedang diakar umbikan. Rakyat Malaysia masih tidak sensitif dengan isu bahasa keseluruhannya. Mereka tidak sedar PPSMI mengorbankan masa depan anak-anak sekolah. Ilmu mahu disusahkan. Bahasa Melayu yang menjadi tamadun Islam dikikis berdikit-dikit. Di Cambodia (Kemboja) dan Selatan Thailand (Pattani) Bahasa Melayu terus digunakan untuk menyemai jiwa agama pada anak bangsa. Bahasa Melayu adalah bahasa besar yang dipertutur oleh bangsa besar. Huruf jawi yang membantu orang Islam mengenal Al Quran sudah terhapus. Bahasa Melayu yang sedang layu ini pula mahu dipadamkan dari ilmu arus perdana; sains dan matematik. Lambat laun kita akan menjadi seperti sebahagian besar bangsa Afrika, berbudaya dan bertutur dalam bahasa Perancis, Inggeris dan Portugal.

Kawan saya yang hadir majlis itu memberitahu, ada cakap-cakap dari kalangan GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) mahu menginggeriskan semua mata pelajaran. Mungkin sekadar cakap-cakap atau bergurau. Walaupun begitu saya sama sekali tidak boleh menerima. Apa, mahu kembali ke zaman penjajah?. Mahu lebih putih dari orang putih?. Akal apa yang menjadi logik dan mantik mereka. Saya sangat marah sehingga menyebut ‘bodoh’ beberapa kali. Kasar bukan?.

Saya bukan anti bahasa Inggeris. Saya belajar bahasa Inggeris dan berusaha menguasai bahasa itu. Saya juga belajar bahasa Perancis dan sangat tahu bahasa Arab. Suatu masa dulu lidah saya amat lancar berbahasa Urdu. Dalam pada itu semua, saya amat cinta bahasa Melayu.

Ramai rakan-rakan saya yang bersumberkan Bahasa Inggeris dan ramai lagi kawan-kawan yang bersumberkan Bahasa Arab. Memang ada jurang pemikiran. Berbeza dalam menilai segala isu. Kami menonton Al Jazeera, Al Arabiyyah, Al Manar dan banyak lagi yang sewaktu dengannya. Kami membaca bbcarabic, islamonline dan majalah Al Bayan. Mereka pula menonton CNN, menatap Newsweek, membaca surat-suratkhabar online berbahasa Inggeris dari negara-negara barat. Mereka juga sangat akrab dengan buku-buku Maryam Jameelah dan Fazlur Rahman. Saya tidak menyatakan ini betul dan itu salah. Ada pro dan kontra. Ada cara untuk menanganinya. Apa yang mahu ditekankan, bahasa mampu membentuk jatidiri dan cara berfikir.

Jangan lupa buat semua. 23 Febuari ada Himpunan dan Ikrar membantah PPSMI di Dewan Peniagaan Cina Kuala Lumpur. Dekat Stdium Merdeka. Bermula jam 9.00 malam. Himpunan ini sebenarnya sebagai momentum awal Perhimpunan Besar pada 7 Mac nanti. Kepada anda yang membaca posting ini, tolong war-warkan. Khususnya para blogger. Itulah sekurang-kurangnya usaha kita. Jika mampu, sila hadir demi masa depan yang tiada kelam dan hitam.

Wednesday, 21 January 2009

Antara Akal Dan Naluri

Ketika saya menuntut di Yaman, saya begitu meminati seorang pensyarah, Abdul Majid Sya’bi namanya (pernah disebut beberapa kali dalam posting sebelum ini). Sempat mengajar beberapa subjek. Antaranya Mustalah Hadith, Muqaranatul Adyan dan Ad Da’wah Wat Dua’t. Sebenarnya dia bukanlah seorang yang sangat a’lim atau pun ulama’ besar yang mereka ini kebiasaannya menjadi ikon kepada pelajar-pelajar agama seperti kami.

Saya sangat memberi tumpuan kerana bicaranya yang sarat bermadah. Sebahagiannya terus tersemat erat dalam sanubari saya. ‘Dalam persoalan wanita dan rumahtangga, jangan sekali-kali menggunakan naluri tetapi gunalah akal fikiran’. Dia menambah lagi; ‘Inna kaidash syaitoni kaana dhoi’fa, inna kaidakunna a’zim’. Sesungguhnya tipu daya syaitan adalah lemah, sesungguhnya tipu daya kamu (wanita) adalah sangat hebat. Dia merujuk kepada surah An Nisa’ ayat 76 dan surah Yusuf ayat 28.

Di tengah-tengah kesibukan pilihanraya baru-baru ini, tiba-tiba muncul perbincangan mengenai perkahwinan antara saya, emak dan ayah. Waktu sarapan. Berpunca dari gurauan saya dengan emak saudara yang saya akan berkahwin dengan si fulan dan si fulan. Emak bertanya sambil ketawa. Emak tidak ambil serius sebetulnya. Saya menjawab, saya hanya main-main dan bergurau. Ayah berkata sesuatu, membayangkan sudah sampai masanya saya berumahtangga (rumah zaman sekarang banyak juga yang tiada tangga. Haha). Malah sudah beberapa kali perkara ini ditimbulkan sejak saya pulang. Ayah mengingatkan perlu berbincang dalam memilih pilihan hati. ‘Jangan pula bila sudah tertutup baru berbincang’. Tegas pesan ayah dalam bersahaja. Apa yang saya faham, jangan pula dalam perbincangan nanti, saya sekadar memberitahu, memaksa pilihan saya ke atas keluarga dan keputusan saya tidak akan berubah. Panjang juga perbualan kami. Seperti biasa hadith Nabi yang sangat mayshur itu menjadi panduan. Siap saya yang menyambungnya. Selepas itu saya mencelah dengan mengekek; ‘walaupun sudah tahu, tetap mahu mencari yang cantik-cantik sahaja’.

Perbualan pagi itu sendat dengan akal fikiran. Halus sahaja yang membawa suara naluri. Saya terkenang kata-kata saya kepada Abu Bakar, seorang sahabat ketika di Yaman. Seorang yang sangat sahabat. Layak sekali dengan namanya. ‘Aku takut, nanti bila mahu kahwin, pandangan aku bertembung dengan keluarga’. Saya tidak mengharapkan perkara ini berlaku. Nau’zubillahi min zalik. Ia belum lagi berlaku dan minta-minta jangan sekali-kali berlaku.

Dalam segi logik dan mantik, saya amat bersetuju dengan petua dan nasihat orang tua. Pengalaman hidup emak yang tabah, fikrah perjuangan ayah yang kemas, membuatkan saya percaya semua itu cukup menjadi bekal. Lain pula dengan sudut rasa dan naluri saya. Kadang-kadang menyebabkan saya tidak menerima sepenuhnya pandangan ayah dan emak. ‘Kalaulah kata-kata Rabiatul Adawiyah; lelaki memiliki sembilan akal dan satu nafsu manakala perempuan sembilan nafsu dan satu akal –boleh ditafsir secara harfiah, inilah nafsu saya, nafsu mahu mengikut rasa dan naluri’. Ucap saya pada Saiful, teman yang bersama-sama saya di UIA.

Ayah, maafkan saya. Ayah kata ‘kalau ahmad mahu kahwin dengan doktor atau siapa-siapa saja, ramai anak-anak kawan emak yang ada, yang baik-baik’. Saya bukan mahu kahwin dengan doktor, lawyer atau engineer, saya mahu kahwin dengan orang yang saya jumpa dalam hidup ini.