Wednesday 20 August 2008

Resah Musim Hujan

Saya akan melalui Jambatan Lama peninggalan penjajah British menyeberangi sungai Nil Biru untuk sampai ke universiti dan pulang ke rumah menerusi Jambatan Futaihab yang di biayai kerajaan China melintasi sungai Nil Putih. Kedua-dua sungai ini telah melimpah. Dua buah pulau tidak bernama sudah ditenggelami air. Satu terletak di sungai Nil Biru dan satu lagi terletak di sungai Nil Putih. Pulau Tuti pula semakin sempit. Burung-burung Undan sudah jarang-jarang muncul. Barangkali kerana anak-anak ikan susah kelihatan disebabkan air sungai yang keruh. Pohon-pohon semambu yang banyak ditanam tidak perlu disiram. Air rahmat dari langit telah mencukupi. Suhu menurun kepada 36 hingga 38 darjah celcius daripada 45 darjah celcius ke atas ketika cuaca panas memuncak. Begitulah wajah musim semi di Khartoum.

Namun begitu, hati saya tetap keresahan. Gerhana bulan yang cantik Sabtu lepas tidak sanggup mengusir kebimbangan saya. Tesis yang siap pembetulannya sudah diserahkan dua minggu lalu untuk pemeriksaan terakhir sebelum dicetak sebanyak empat naskhah yang mana tiga daripadanya mesti dihantar ke Bahagian Tesis universiti dan satu lagi ke perpustakaan Majlis Menteri-menteri. Kesibukan mushrif yang memanjang membuatkan segala-galanya tergendala. Urusan mendapatkan sijil tertangguh. Akhirnya saya memutuskan untuk menyelesaikan visa keluar terlebih dahulu meskipun tempahan tiket terbatal kerana lewat membuat pembayaran.

Di musim hujan ini, saya terus mengikuti perkembangan seluruh dunia melalui sebuah radio usang. Olimpik 2008 di Beijing, pilihanraya kecil Permatang Pauh, peperangan di Caucus, lawatan luar negara kali pertama presiden Umar Al Bashir selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan bagi menyertai persidangan Turki-Afrika di Istanbul -dan lain-lain. Dalam banyak-banyak peristiwa, pertembungan antara Amerika Syarikat dan Russia berhubung wilayah pemisah Ossetia Utara dan Abkhazia di Georgia sangat-sangat menarik perhatian. Saya merasakan perkara ini akan menjadi sebab kepada masa depan umat Islam yang makin baik. Bukankah Allah Subhanahu Wataa’la itu maha bijaksana.

Semoga semuanya berjalan lancar. Gusar memikirkan keluarga yang tidak sabar-sabar menanti. Musim air-air yang menitis. Rintik dan rimbun. Tinggalkanlah kenang-kenangan. Kekal menjadi bekal. Buat orang-orang tersayang.

No comments: