Monday, 5 April 2010

Perkahwinan Lelaki Biasa

Perkahwinan bukan perkara biasa. Saya seorang lelaki biasa yang akan melalui perkahwinan yang biasa-biasa sahaja.

Segalanya berakhir selepas beberapa lama. Alhamdulillah. Tuhan tempat hamba mengadu dan saya salah seorang hamba itu. Kerdil dan hina dengan dosa yang muncah. Mudah-mudahan Allah tidak menjadikan balasan terhadap segala luka dan parut ke dalam perkahwinan ini. Semoga rahmat tiba menjengah dan hujungnya menyentuh kami berdua.

Hati berada di antara dua jari Ar Rahman. Hati sesiapa pun. Hati saya dan hati dia. Juga hati-hati orang-orang di sekeliling. Biarlah saya menyambut doa baginda di akhir sabda itu 'Wahai tuhan yang menggerakkan hati, gerakkanlah hati-hati kami ke dalam ketaatanmu'. Bertapa beruntung, kalau diperkenan, walau pun sekadar insan biasa di sisiNya.

'Umur umatku di antara enam puluh hingga tujuh puluh. Sedikit sahaja dari kalangan mereka yang melepasinya'. Saya sudah berumur tiga puluh tahun. Bekalan sekecil tapak tangan belum tentu dapat digenggam. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa. Saya hanyalah lelaki biasa yang mengimpikan angan-angan menjadi kenyataan dalam sebuah perkahwinan biasa.

Apabila Abu Darda' berada di saat kematian, Ummu Darda' berkata 'engkau meminangku di dunia dari kedua ibu bapaku, maka mereka menikahkan engkau. Aku pula mahu meminangmu di akhirat'. Abu Darda' membalas 'Jika begitu, janganlah engkau berkahwin selainku'. Saya tidak meminta sejauh itu. Saya hanyalah seorang lelaki biasa.

Segalanya akan bermula tidak berapa lama. InsyaAllah. Sekali lagi, tuhan tempat hamba mengadu. Malah, selama-lamanya tempat hamba mengadu dan saya salah seorang hamba itu. Biarlah tercipta untuk firman suci yang berbunyi ‘Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampaui batas ke atas dirinya sendiri, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah’.

Saya ulangi, ini adalah perkahwinan biasa, teramat biasa. Cuma satu, impian dan harapan saya luar biasa sekali.

Wednesday, 2 December 2009

Di Tengah-tengah Orang Yang Mulia

Ini adalah hari ketiga berturut-turut. Hujan tanpa henti. Air lebat atau rebas, terang atau gemawan sang suria, sama sahaja. Berterusan tiada sidang.

Terkenang masa dulu. Masa belajar dulu-dulu di Sudan. Hari hujan bersekali dengan ribut kencang diikuti terputus elektrik yang akibatnya ketiadaan air kerana bekalannya disedut menggunakan generator dan jalan-jalan berlecak yang akibatnya bertegang leher dengan pemandu riksha menaikkan harga tambang kerana alasan kotor kenderaan; selalu ternanti-nanti buat meneduh hawa panas yang hangat. Bila hujan turun tetap suka berjemaah di masjid terutama solat maghrib kerana boleh dijamak dengan isyak. Tapi itu dulu. Setahun sudah berlalu.

Musim-musim seperti ini banyak perkara yang terganggu. Mahu beli sehelai dua kain baju, mahu buat kad pengenalan baru dan mahu buka akaun Maybank. Kenapalah masa kecil dulu saya bingung memikirkan pepatah melayu ‘ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Saya memahaminya begini ‘bukankah hujan menahan tengahari yang membahang?’. Tapi itu dulu. Bertahun-tahun sudah berlalu.

Dalam musim hujan kali ini, saya sedang berada di tengah-tengah kehidupan yang terbelah dua sambil berkira-kira hari yang mulia. Seseorang bertanyakan makna ‘Rabiatul Nabila’. Konotasi yang pelbagai sebenarnya. Ketika itu saya hanya memberitahu ‘Rabiatul’ maksudnya yang keempat atau di tengah-tengah. ‘Nabila’ pula beerti bangsawan, tokoh atau orang mulia. Selepas termegun saya tersenyum simpul. Sememangnya nian, saya mahu berada di tengah-tengah orang yang mulia!.

Wednesday, 11 November 2009

Tiada Tajuk Di Musim Hujan

Lama benar tidak menulis, kerana itu saya tiada tajuk, dan tiada isi yang dikongsi. Musim hujan begini mahu jadi apa?. Pastinya mahu lebih mengenal kehidupan. Jangan hidup kosong bila poket kosong. Banyak benda yang saya mahu menjadinya. Ini musim hujan kali kedua. Sejak sirih pulang ke ganggang. Tetapi kenapa mesti musim hujan?.

Menalari perjalanan terus menerus. Tentu sekali, dalam musim hujan. Ada lebat merimbun. Ada rintik menipis. Sifat hujan yang tercipta. Sesungguhnya, kehidupan tiada beza yang mendasar. Bahagia yang paling dan terlalu. Semua orang mahukannya. Saya turunkan sebuah puisi.

Tidak tahu rindu pada siapa
Simpang siur rasa bergejolak
Cinta masa dulu
Bertahun lalu
Tetap mekar dan segar
Namun
Hanya aku yang begitu
Dia
Mungkin aku sudah tiada
Dalam
Hari-hari berputar
Kita kan berubah
Dan berubah
Aku bukan begitu
Hanya dia
Saat
Aku melambung jiwa
Moga malam menolongku
Bawakan dia dalam mimpi
Mimpi kudus
Kali terakhir
Sebelum aku berdoa
Agar aku sepertimu
Tidak pernah mengenang
Kisah kita bersama
Oh Tuhan
Kau cabutlah
Kasih sayang di hatiku
Aku tidak mahu
Jatuh cinta lagi
Pada sesiapa di dunia ini

Puisi ini puisi orang yang tidak bahagia. ‘Masih ramai yang tidak bahagia’. Saya mengingkarinya. Saya hendak bahagia. Dengan orang yang saya jumpa dalam hidup ini. Dengan perjuangan yang tak pernah padam. Hidup saya mula bertajuk. Di musim hujan kali kedua. Selepas tiada di musim pertama.

Friday, 10 July 2009

Hidup Ini Memang Kadang-Kadang

Jam menunjukan hampir pukul 2.00 pagi. Ya, saya mahu mencoret sesuatu setelah ragu-ragu bukan sekali dua. Mengapa hanya selepas kesedihan saya mengenepikan rasa teragak-agak untuk menulis?. Jangan nafikan lagi. Saya sama seperti kebanyakkan blogger; blog sebagai medium meluah perasaan terpendam.

Hidup ini memang kadang-kadang. Kadang-kadang yang teramat kadang-kadang. Semuanya perasaan halus dan jiwa seni yang silih berganti. Datang dan pergi. Tidak pernah sekali pun saya bercakap tentang ini dalam entri-entri sebelumnya. Saya ada puisi ‘Luahan Rasa Kadang-kadang’. Diperap dari tahun 2000. Ditulis bersambung. Bahagian satu dan dua.

Hidup saya memang kadang-kadang. Semasa Nizam mengajar Rasail An Nur dalam pertengahan tahun lepas, dia menyebut doa manusia ada dua jenis. Percakapan dan tindakan. Adakah perasaan dan jangkaan saya semenjak bertahun dulu dikira sebagai doa. Akhirnya dikabulkan Tuhan?. Walhal saya selalu menyebut nauzubillahi min zalik sejurus terlintas perkara yang bukan-bukan. Atau ini ujian untuk hamba yang suka bersenang-senang?.

Saya terkedu bila emak menyatakan saya lupa hadis nabi ketika memilih seperti mana emak terkedu bila saya menyatakan emak beri penekanan sampai tertekan dan kadang-kadang saya tidak jadi diri sendiri.

Kadang-kadang benci juga kadang-kadang yang begini. Kadang-kadang manis juga. Hidup biarlah warna-warni. Hitam, putih, tiada lagi kelabu. ‘Mahu cipta sendiri kisah cinta’. ‘Hidup aku ada juzuk-juzuk. Setiap orang hanya tahu juzuk-juzuk tertentu sahaja’. Inilah kata-kata yang terpacul, Menyebabkan kawan-kawan menyampah dan meluat. ‘Poyo’ kata mereka. Biasalah, orang lelaki.

Ya Allah, kiranya belum terlambat, usah kabulkan lagi doa itu –andai itu sudah dianggap doa-. Saya mahu segalanya baik. Suka semuanya berjalan lancar. Langkah yang beribu batu boleh bermula dengan satu langkah susah. Tidur dulu kawan-kawan!. Kawan-kawan yang berdoa fi zohril ghaib.

Sunday, 3 May 2009

Belajar

Setelah menemui kawan-kawan lama di rehlah bekas pelajar Yaman di Air Terjun Belukar Bukit, seorang rakan sekelas sekolah menengah yang bermalam dua hari di rumah saya kerana isterinya menjalani pembedahan bersalin di Hospital Sultanah Zahirah dan dua orang rakan serumah selama empat tahun di Yaman di bandar Sri Iskandar; rakan-rakan seperjuangan ini mengajukan dalam analogi yang berbeza-beza apakah yang saya mahu dengan terus belajar?.

Sembahyang Jumaat bukanlah sembahyang biasa tetapi solat Jumaat semalam adalah solat biasa yang tertunai pada hari-hari mulia seperti itu sebelumnya. Sebaik sahaja selesai ada yang mengumumkan seorang pensyarah dari Universti Raja Abdul Aziz, Arab Saudi akan memberikan ucapan. Tidak fokus semasa pengerusi menyebut namanya. Saya duduk apabila mendengar dia adalah ‘allazi jamaa’ bainal u’lum as syari’yyah wal mehnah’. Seorang yang menghimpunkan ilmu-ilmu syariah dan mehnah.

Pantas dia bertanya dalam ucapannya. Apa yang kami mahu dengan belajar di sini?. ‘Min ajlil wazifah was syahadah?’. Adakah kerana pekerjaan dan sekeping ijazah?. ‘Am min ajli inqazil ummah wa kasril halaqah?. Atau pun untuk menyelamatkan umat dan memecahkan mata rantai?. Dia menerang dengan lebih lanjut. ‘Para pemuda pergi ke luar negara untuk belajar. Apabila pulang mereka mengajar apa yang dipelajari kepada pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar itu pula pergi keluar negara untuk belajar dan mereka pulang untuk mengajar pelajar-pelajar yang lain. Siapakah yang mahu memecahkan mata rantai sebegini?’.

Sewaktu berkereta dari Kemaman ke Kuala Terengganu beberapa bulan lepas, emak berkisah bertapa dia pernah menolak tawaran ke universiti masa mengandungkan abang. Adik saya bertanya mengapa sampai begitu sekali. Emak bercerita panjang. Masa itu sebenarnya emak sudah pun meminta pendapat ayah. Ayah bertanya kembali. ‘Kenapa mahu masuk?’. Jawab emak ‘mestilah mahu kenaikan gaji’. Tingkah ayah ‘kalau begitu lebih baik tidak masuk’. Saya yang sedang memandu menyampuk emak yang asyik bercerita. ‘Lebih baik masuk walaupun dengan niat mahu naik gaji’. Memetik komentar Imam Az Zahbi ketika mengulas kata-kata Hisyam Ad Dastuwai ‘sesungguhnya aku tidak pernah sekali pun pergi menuntut ilmu hadis dalam mengharapkan keredhaan Allah’. Ulas Imam Az Zahbi ‘satu golongan lagi yang menuntut ilmu pada mulanya bukan kerana Allah. Mereka mendapatkannya dan menjadi hebat. Kemudian mereka memuhasabah diri mereka. Maka ilmu mengheret diri mereka kepada keikhlasan di pertengahan jalan’. Ringkas sahaja reaksi ayah. ‘Oh, begitu pula’.

Saya tidak tahu siapakah yang sanggup memikul amanah. Menyelamatkan umat dan memecahkan mata rantai. Apa yang saya tahu, kaki saya melangkah keluar dari majlis itu dengan hati berbuku sebu.

Friday, 10 April 2009

Mi Udang Kuala Sepetang

Entah kenapa, saya sangat suka dengan nama Kuala Sepetang. Semacam ada unsur sastera. Amat estetika dan terlalu puitis. Boleh buat novel atau cerpen dengan nama ini. Saya pun berkhayal. Matahari terbenam di sebuah perkampungan nelayan. Tempat berlangsung kisah cinta pemuda melayu dan anak gadis cina. Segala-galanya berbeza.

Berlainan pula dengan mi udang. Apabila diberitahu ramai orang tentangnya, sedikit pun tidak mengecurkan air liur. Malam sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, Puan Ainul yang mengajar bahasa Inggeris menghantar sms dan bergurau meminta saya membawa pulang mi udang -hanya selepas itu saya terkesan dengan nama ini.

Keesokan hari atas permintaan saya, kami bergegas mencari mi udang. Mengambil jalan menuju ke Trong. Mahu pergi ke Zetty Mi Udang yang sangat masyhur. Juga popular dengan gelaran mi udang bawah pokok manggis. Sebabnya jelas. Memang banyak pokok-pokok manggis yang mengelilingi restoran. Namun tiada rezeki di sini. Restoran belum beroperasi. Semasa berpatah balik, saya perhatikan kebanyakan restoran mi udang masih ditutup.

Maka bermulalah langkah ke Kuala Sepetang. Walau pun agak jauh. Di situlah sebenarnya tempat asal mi udang jadi terkenal.

Dalam perjalanan, saya mendapat tahu pekan Kuala Sepetang terletak dekat dengan laut. Kebanyakan penduduk adalah orang cina. Seorang kawan yang sempat berada di sini pada hari mengundi menyatakan orang-orang cina duduk di kopitiam dengan sebelah tangan meneguk arak dan sebelah tangan lagi memegang bendera PAS. Akal fikiran saya terkatung-katung. Ada sisi baik dan sisi buruk di situ.

Setelah sampai, kami melilau di tengah-tengah pekan. Kawan saya terpaksa menelefon untuk mengenal pasti jalan mana mengarah ke warung mi udang Stall Salleh. Katanya, warung ini jarang benar menutup pintu buat para pengunjung. Nasib menyebelahi saya. Rezeki mi udang di Kuala Sepetang rupanya.

Kuala Sepetang. Suatu nama indah. Saya mahu menyambung khayalan. Kisah cinta bertentangan. Mereka berpisah. Biar pun cinta dari hati yang paling dalam. Saya lebih suka begitu sejak akhir-akhir ini. Kerana kehidupan bukan sekadar cita. Perkahwinan bukan hanya cinta.

Kisah Pilihanraya

Demam pilihanraya sudah berakhir. Baru sahaja selesai tiga hari sudah. Banyak perkara yang saya saksikan. Dengan mata kepala sendiri. Menjelajah sebahagian besar kawasan Parlimen Bukit Gantang. Menjadi saksi kepada banyak peristiwa. Lebih banyak daripada pilihanraya Kuala Terengganu.

Hari mengundi saya berada di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Pengkalan Aur. Berdekatan Markas Besar PAS di Air Kuning. Rupa-rupanya petugas PAS di sini dibantu oleh PAS Terengganu kawasan Kuala Nerus. Oleh sebab kampung saya terletak di Kuala Nerus, ramai sekali muka-muka yang biasa dikenali tampak hadir. Serasa-rasa seperti berada di kampung sendiri.

Sekolah Menengah Pengkalan Aur menjadi salah sebuah pusat pembuangan undi paling panas. Sebelum saya tiba, FRU melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan bibit pergaduhan yang mula menyala. Puncanya, seorang penyokong PAS ditolak. Menyebabkan penyokong-penyokong yang lain pergi meluru. Penyokong-penyokong Umno yang melihat keadaan itu, meluru juga untuk mempertahankan penyokong mereka. Berlaku insiden yang tidak diingini. Penyokong Umno membaling kerusi dan tiang bendera.

Tidak kurang juga yang menggelikan hati. Apabila orang India datang mengundi, peraih undi PAS melaungkan Makkal Sakhti. Yang menyebabkan gelak tawa orang ramai, beberapa pemuda menjerit-jerit laungan ‘makan sate’. Beberapa orang lagi menyela ‘makan sate Jabi’ (jika Selangor popular dengan Kajang, Terengganu pula popular dengan sate Jabi).

Sehari sebelum itu, saya menguntum senyum apabila melawat Markas Tindakan Dun (MTD) Sungai Tinggi yang berada di dalam Dun Trong. Penginapan kontijen PAS Selangor. Mata saya melirik pada papan putih yang terlakar peta Dun Trong. Hendak tahu kenapa?. Setiap nama diterjemah kepada bahasa Inggeris. Bukit Gantang Selatan menjadi South Kilogram Hills. Kampung Che Rahmat bertukar kepada Mr. Bless Village. Batu Hampar diubah dengan nama The Rock. Gila-gila juga kepala or ang-orang PAS di sini.

Sepanjang enam hari berada di Bukit Gantang, saya menyaksikan semangat yang membuak-buak. Jika Dr. Yusuf Qardawi kerap menyebut di dalam buku-bukunya hamasatus syabab waa’qlaniayyatus shuyukh (semangat para pemuda dan kebijaksanaan golongan tua), saya melihat semangat itu menjelma dalam diri kedua-duanya. Orang muda dan orang tua. Malah kanak-kanak sekali pun.

Pasangan tua suami isteri memasang bendera dan stiker yang begitu banyak pada kereta mereka tanpa segan silu. Kelihatan begitu semangat dan sentimental. Seorang kanak-kanak pula melaung-laung ‘hidup Islam’ dan ‘hidup PAS’ dalam pada menahan matahari dan hujan yang berselang seli. Usah cerita semangat orang muda, memancar di mana-mana sahaja.

Kisah-kisah sejarah. Saya mahu menjadi sejarah itu. Sejarah perjuangan yang tidak pernah padam.