Sunday 3 May 2009

Belajar

Setelah menemui kawan-kawan lama di rehlah bekas pelajar Yaman di Air Terjun Belukar Bukit, seorang rakan sekelas sekolah menengah yang bermalam dua hari di rumah saya kerana isterinya menjalani pembedahan bersalin di Hospital Sultanah Zahirah dan dua orang rakan serumah selama empat tahun di Yaman di bandar Sri Iskandar; rakan-rakan seperjuangan ini mengajukan dalam analogi yang berbeza-beza apakah yang saya mahu dengan terus belajar?.

Sembahyang Jumaat bukanlah sembahyang biasa tetapi solat Jumaat semalam adalah solat biasa yang tertunai pada hari-hari mulia seperti itu sebelumnya. Sebaik sahaja selesai ada yang mengumumkan seorang pensyarah dari Universti Raja Abdul Aziz, Arab Saudi akan memberikan ucapan. Tidak fokus semasa pengerusi menyebut namanya. Saya duduk apabila mendengar dia adalah ‘allazi jamaa’ bainal u’lum as syari’yyah wal mehnah’. Seorang yang menghimpunkan ilmu-ilmu syariah dan mehnah.

Pantas dia bertanya dalam ucapannya. Apa yang kami mahu dengan belajar di sini?. ‘Min ajlil wazifah was syahadah?’. Adakah kerana pekerjaan dan sekeping ijazah?. ‘Am min ajli inqazil ummah wa kasril halaqah?. Atau pun untuk menyelamatkan umat dan memecahkan mata rantai?. Dia menerang dengan lebih lanjut. ‘Para pemuda pergi ke luar negara untuk belajar. Apabila pulang mereka mengajar apa yang dipelajari kepada pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar itu pula pergi keluar negara untuk belajar dan mereka pulang untuk mengajar pelajar-pelajar yang lain. Siapakah yang mahu memecahkan mata rantai sebegini?’.

Sewaktu berkereta dari Kemaman ke Kuala Terengganu beberapa bulan lepas, emak berkisah bertapa dia pernah menolak tawaran ke universiti masa mengandungkan abang. Adik saya bertanya mengapa sampai begitu sekali. Emak bercerita panjang. Masa itu sebenarnya emak sudah pun meminta pendapat ayah. Ayah bertanya kembali. ‘Kenapa mahu masuk?’. Jawab emak ‘mestilah mahu kenaikan gaji’. Tingkah ayah ‘kalau begitu lebih baik tidak masuk’. Saya yang sedang memandu menyampuk emak yang asyik bercerita. ‘Lebih baik masuk walaupun dengan niat mahu naik gaji’. Memetik komentar Imam Az Zahbi ketika mengulas kata-kata Hisyam Ad Dastuwai ‘sesungguhnya aku tidak pernah sekali pun pergi menuntut ilmu hadis dalam mengharapkan keredhaan Allah’. Ulas Imam Az Zahbi ‘satu golongan lagi yang menuntut ilmu pada mulanya bukan kerana Allah. Mereka mendapatkannya dan menjadi hebat. Kemudian mereka memuhasabah diri mereka. Maka ilmu mengheret diri mereka kepada keikhlasan di pertengahan jalan’. Ringkas sahaja reaksi ayah. ‘Oh, begitu pula’.

Saya tidak tahu siapakah yang sanggup memikul amanah. Menyelamatkan umat dan memecahkan mata rantai. Apa yang saya tahu, kaki saya melangkah keluar dari majlis itu dengan hati berbuku sebu.