Wednesday 25 February 2009

Bila Berada Di Tanahair Sendiri

Bila berada di tanahair sendiri, bumi sendiri, perasaan mahu menulis blog terkandas di beberapa perhentian. Benar kata seorang kawan ‘waktu berada di luar negara lah banyak kisah yang boleh dicoretkan’. Sebagai gantinya -selain membaca surat-surat khabar online- saya melompat-lompat blog. Kadang-kadang meninggalkan jejak. Dengan komen-komen kontra yang dibuat-buat. Hanya sekali-sekala sahaja mengulas dengan baik dan sopan.

Bila belajar di negara sendiri, tempat sendiri, perasaan mahu beramah mesra dengan sesiapa sahaja disentap oleh beberapa tangan. Benar kata seorang lagi kawan ‘ukhuwah belajar di luar negara tidak sama dengan belajar di universiti tempatan’. Sebagai gantinya -dalam terus menginjak kawan-kawan lama- saya berkenalan dengan ‘budak-budak jemaah’ di UIA dan satu dua lagi universiti yang lain.

Dua jalan hidup yang dilalui kebelakangan ini membuatkan saya mengambil perbandingan. Semasa melompat-lompat blog, saya sering terserempak blog-blog pelajar-pelajar bukan agama yang melaut dengan unsur-unsur dakwah dan tarbiah. Begitu juga perkenalan saya. Bila bersua muka dengan ‘budak-budak jemaah’, saya kerap bertanya, siapakah yang lebih ramai antara mereka?. Jawapannya, kebanyakan dari kalangan pelajar-pelajar engineering.

Saya tertanya-tanya. Saling menimbal balas. Melihat diri saya sendiri. Mengimbas keadaan kawan-kawan seangkatan. Saya terdiam.

Pelajar-pelajar bukan dari aliran agama, apabila berminat dengan agama, bermakna niat mereka terlalu ikhlas. Menimba ilmu dengan usrah-usrah dan pelbagai halaqah ilmu. Mereka baca buku-buku terjemahan karya tokoh-tokoh haraki ternama. Usul I’syrin karangan Hasan Al Banna dan beberapa syarahnya dibaca dengan teliti dan mendalam. Selepas itu berusaha untuk beramal dengan apa yang mereka tahu. Menjaga amal ibadat. Bergerak dan berdakwah.

Pelajar-pelajar agama lain pula caranya. Ada yang belajar bukan kerana agama. Niat yang bercabang-cabang. Sesetengahnya terlalu larut dengan hukum-hukum feqah. Suka bertalaqqi kitab-kitab besar sehingga kadang-kala tidak memahami mana satu yang menjadi keutamaan. Sangat cetek soal umat dan isu semasa dunia. Banyak membuat takwilan yang melepas diri.

Saya tidak berniat menafikan orang-orang agama yang berjuang. Bukan saya menyatakan tidak perlu orang yang mendalami hukum-hukum feqah. Perlu mengenepikan kitab-kitab besar yang menjadi rujukan muktabar. Bukan begitu sama sekali.

Anggap saja ini luahan hati saya. Hati orang yang salah. Hati yang tidak tenang. Di manakah saya berdiri di antara kedua-duanya?.

Nota : Nizam akan sangat-sangat bersetuju jika saya menyatakan saya perlu belajar tasawwuf untuk hidup yang lebih bermakna. Saya terbayang-bayang dia menepuk-nepuk belakang bahu saya sambil tersenyum.

Nota : Adakah ini permulaan kepada diri saya yang lebih serius dan kurang merapu?.

Tuesday 17 February 2009

Siapa Bilang Bahasa Melayu Tidak Boleh Maju?.

Semalam Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) menghantar memorandum bantahan ke Parlimen. Hanya sekitar 30 orang sahaja. Saya juga tidak hadir kerana ada kelas sehingga jam 1.00 petang. Namun ia tetap gagah dengan ikon-ikon besar seperti A. Samad Said, Doktor Hasan Ahmad dan Puan Ainon.

Dalam Parlimen, Ahli Parlimen Kinabatangan menyebut GMP mempunyai anasir-anasir. Suatu kenyataan yang menimbulkan kemarahan. Ketika di luar Parlimen apabila ditanya oleh orang-orang kuat GMP apakah yang dimaksudkan dengan ‘anasir-nasir’ itu, dia menafikan dan membuat huraian yang memutar belit. Akhirnya timbullah sedikit ketegangan.

Gerakan ini semakin mengakar dan sedang diakar umbikan. Rakyat Malaysia masih tidak sensitif dengan isu bahasa keseluruhannya. Mereka tidak sedar PPSMI mengorbankan masa depan anak-anak sekolah. Ilmu mahu disusahkan. Bahasa Melayu yang menjadi tamadun Islam dikikis berdikit-dikit. Di Cambodia (Kemboja) dan Selatan Thailand (Pattani) Bahasa Melayu terus digunakan untuk menyemai jiwa agama pada anak bangsa. Bahasa Melayu adalah bahasa besar yang dipertutur oleh bangsa besar. Huruf jawi yang membantu orang Islam mengenal Al Quran sudah terhapus. Bahasa Melayu yang sedang layu ini pula mahu dipadamkan dari ilmu arus perdana; sains dan matematik. Lambat laun kita akan menjadi seperti sebahagian besar bangsa Afrika, berbudaya dan bertutur dalam bahasa Perancis, Inggeris dan Portugal.

Kawan saya yang hadir majlis itu memberitahu, ada cakap-cakap dari kalangan GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) mahu menginggeriskan semua mata pelajaran. Mungkin sekadar cakap-cakap atau bergurau. Walaupun begitu saya sama sekali tidak boleh menerima. Apa, mahu kembali ke zaman penjajah?. Mahu lebih putih dari orang putih?. Akal apa yang menjadi logik dan mantik mereka. Saya sangat marah sehingga menyebut ‘bodoh’ beberapa kali. Kasar bukan?.

Saya bukan anti bahasa Inggeris. Saya belajar bahasa Inggeris dan berusaha menguasai bahasa itu. Saya juga belajar bahasa Perancis dan sangat tahu bahasa Arab. Suatu masa dulu lidah saya amat lancar berbahasa Urdu. Dalam pada itu semua, saya amat cinta bahasa Melayu.

Ramai rakan-rakan saya yang bersumberkan Bahasa Inggeris dan ramai lagi kawan-kawan yang bersumberkan Bahasa Arab. Memang ada jurang pemikiran. Berbeza dalam menilai segala isu. Kami menonton Al Jazeera, Al Arabiyyah, Al Manar dan banyak lagi yang sewaktu dengannya. Kami membaca bbcarabic, islamonline dan majalah Al Bayan. Mereka pula menonton CNN, menatap Newsweek, membaca surat-suratkhabar online berbahasa Inggeris dari negara-negara barat. Mereka juga sangat akrab dengan buku-buku Maryam Jameelah dan Fazlur Rahman. Saya tidak menyatakan ini betul dan itu salah. Ada pro dan kontra. Ada cara untuk menanganinya. Apa yang mahu ditekankan, bahasa mampu membentuk jatidiri dan cara berfikir.

Jangan lupa buat semua. 23 Febuari ada Himpunan dan Ikrar membantah PPSMI di Dewan Peniagaan Cina Kuala Lumpur. Dekat Stdium Merdeka. Bermula jam 9.00 malam. Himpunan ini sebenarnya sebagai momentum awal Perhimpunan Besar pada 7 Mac nanti. Kepada anda yang membaca posting ini, tolong war-warkan. Khususnya para blogger. Itulah sekurang-kurangnya usaha kita. Jika mampu, sila hadir demi masa depan yang tiada kelam dan hitam.