Wednesday 20 August 2008

Resah Musim Hujan

Saya akan melalui Jambatan Lama peninggalan penjajah British menyeberangi sungai Nil Biru untuk sampai ke universiti dan pulang ke rumah menerusi Jambatan Futaihab yang di biayai kerajaan China melintasi sungai Nil Putih. Kedua-dua sungai ini telah melimpah. Dua buah pulau tidak bernama sudah ditenggelami air. Satu terletak di sungai Nil Biru dan satu lagi terletak di sungai Nil Putih. Pulau Tuti pula semakin sempit. Burung-burung Undan sudah jarang-jarang muncul. Barangkali kerana anak-anak ikan susah kelihatan disebabkan air sungai yang keruh. Pohon-pohon semambu yang banyak ditanam tidak perlu disiram. Air rahmat dari langit telah mencukupi. Suhu menurun kepada 36 hingga 38 darjah celcius daripada 45 darjah celcius ke atas ketika cuaca panas memuncak. Begitulah wajah musim semi di Khartoum.

Namun begitu, hati saya tetap keresahan. Gerhana bulan yang cantik Sabtu lepas tidak sanggup mengusir kebimbangan saya. Tesis yang siap pembetulannya sudah diserahkan dua minggu lalu untuk pemeriksaan terakhir sebelum dicetak sebanyak empat naskhah yang mana tiga daripadanya mesti dihantar ke Bahagian Tesis universiti dan satu lagi ke perpustakaan Majlis Menteri-menteri. Kesibukan mushrif yang memanjang membuatkan segala-galanya tergendala. Urusan mendapatkan sijil tertangguh. Akhirnya saya memutuskan untuk menyelesaikan visa keluar terlebih dahulu meskipun tempahan tiket terbatal kerana lewat membuat pembayaran.

Di musim hujan ini, saya terus mengikuti perkembangan seluruh dunia melalui sebuah radio usang. Olimpik 2008 di Beijing, pilihanraya kecil Permatang Pauh, peperangan di Caucus, lawatan luar negara kali pertama presiden Umar Al Bashir selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan bagi menyertai persidangan Turki-Afrika di Istanbul -dan lain-lain. Dalam banyak-banyak peristiwa, pertembungan antara Amerika Syarikat dan Russia berhubung wilayah pemisah Ossetia Utara dan Abkhazia di Georgia sangat-sangat menarik perhatian. Saya merasakan perkara ini akan menjadi sebab kepada masa depan umat Islam yang makin baik. Bukankah Allah Subhanahu Wataa’la itu maha bijaksana.

Semoga semuanya berjalan lancar. Gusar memikirkan keluarga yang tidak sabar-sabar menanti. Musim air-air yang menitis. Rintik dan rimbun. Tinggalkanlah kenang-kenangan. Kekal menjadi bekal. Buat orang-orang tersayang.

Wednesday 6 August 2008

Jihad Yang Tak Pernah Kunjung Padam

Saya biasa membaca surah Al Baqarah ayat yang ke 214. Saya selalu mendengar surah Ali Imran ayat yang ke 120, 140 dan 142. Ayat-ayat suci lain yang dibaca kerapkali saya mengalunkan dan menghayatinya. Kerana dia seorang pejuang yang menentang dunia orang-orang berkuasa, ucap katanya senang saja mengetuk pintu-pintu hati yang berkarat.

Kelmarin saya diberitahu, Munazzamah akan menyediakan bas yang bertolak dari universiti Afrika ke Friendship Hall untuk menghadiri ceramah Ustaz Khalid Masha’l, antara tokoh-tokoh HAMAS yang paling terkenal. Bahkan sebahagian besar penganalisis berpendapat beliaulah yang mengetuai gerakan itu walaupun lebih dikenali sebagai Ketua Biro Politik yang berpengkalan di Damsyik, jawatan yang dipegang sebelum pembunuhan kejam penjajah Israel ke atas Syeikh Ahmad Yasin dan Abdul Aziz Rantisi lagi. Selepas kejadian itu, HAMAS merahsiakan ketua pergerakan mereka. Saya begitu ghairah dan teruja. Entah kenapa. Hati saya mahu dekat dengan mereka yang berjuang.

Satu kelebihan di sini berbanding tempat-tempat yang lain, ada ruang kebebasan yang luas. Pelajar-pelajar asing digalakkan untuk menyertai sebarang demonstrasi anti barat. Sangat mudah mengambil manfaat daripada aktivis Ikhwan Mesir yang datang menyelamatkan diri. Orang luar membidas dan mengkritik pedas tindak tanduk kerajaan Sudan di dalam seminar-seminar anjuran tempatan sudah menjadi perkara biasa.

Ketika membaca penghujung ayat yang ke 120 daripada surah Ali Imran, bacaannya terhenti kerana menahan sebak. Ada laungan takbir yang menyambut. Sungguh bersemangat. Sewaktu memulakan bicara, katanya mahu membawa hadirin hidup bersama ayat-ayat Allah. Memang benar. Kami telah hidup bersama wahyu yang menjelma di alam nyata. Dia turut mengulas ringkas kekecohan terbaru di Gaza, pertempuran di antara Pasukan Penguatkuasa Keselamatan kerajaan HAMAS dan keluarga Hilis yang menyokong gerakan Fatah. Lantas mendepa tangan dan melapang dada hendak mendakap kepentingan Palestin yang tertinggi; penyatuan anak-anak Palestin langsung menghala senjata hanya pada Israel dan zionis. Menyebut satu persatu inisiatif yang telah dibuat tetapi semuanya menemui jalan buntu. Namun tetap bertegas, keperluan menyatukan saf yang terungkai.

Dalam perhimpunan semalam, ramai yang memakai lilitan kain di kepala yang terlulis Lailaha Illah Muhammdur Rasulullah. Ada juga yang bertulis Kataib Izzuddin Al Qassam; sayap bersenjata gerakan HAMAS. Selain itu, ada lilitan berwarna merah. Tidak pasti apa maksudnya. Saya mengagak rona itu membawa erti darah yang mengalir. Saya sempat mencapai bendera kecil Palestin yang dibahagikan oleh seorang wanita. Seorang ibu menenangkan anak kecil yang mahu bermain-main bersama rakan-rakan; telah berbisik kepadanya: “itu presiden Palestin” sambil menjeling ke arah ustaz Khalid Masha’l. Saya juga mahu berbisik kepada hati dan jiwa sendiri: “dia bukannya pejuang yang terakhir”.